Anda di sini

Kemenangan di Mrs World 2019 satu penghormatan, kata Kokilam

Advertisement
__alt__

“WANITA yang berkahwin harus menaruh impian besar dan jangan berkompromi dalam impian dan harapan mereka,” kata Kokilam Kathirvailu, yang meraih tempat ketiga pertandingan ratu cantik Mrs World 2019 yang diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu lepas.

Kokilam, 34, berkata wanita yang sudah berkahwin harus menyedari bahawa kehidupan tidak berakhir apabila mereka menikah kerana ada banyak perkara yang mereka boleh sumbangkan untuk pembinaan negara dan memperkasakan wanita.

“Dengan memenangi pertandingan ratu cantik ini, saya mahu menjadi contoh, iaitu seseorang wanita yang baru berkahwin, kehidupan mereka tidak berakhir. Harus menaruh harapan besar dan capailah impian itu.

“Wanita yang berkahwin sama ada seorang wanita yang berkerjaya atau bergelar ibu, tidak harus tinggal di rumah dan harus belajar pelbagai tugas,” katanya kepada Bernama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Las Vegas di sini hari ini.

Kokilam, yang berasal dari Kuala Lumpur dan mempunyai tiga anak, berkata pertandingan ratu cantik itu sengit kerana terpaksa bersaing dengan 36 peserta negara lain.

Beliau berkata ia adalah satu penghormatan kerana buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai seorang daripada tiga pemenang utama dalam pertandingan ratu cantik Mrs World.

Mengenai masa depannya, Kokilam  berkata beliau mahu bekerja dan menyokong usaha pemerkasaan wanita.

Sementara itu, Datin Harveen Kaur, yang merupakan Pengarah Nasional Mrs Malaysia World, memuji pencapaian cemerlang Kokilam di peringkat antarabangsa walaupun telah berumah tangga dengan memikul tanggungjawab yang berat.

Mrs World adalah pertandingan ratu cantik pertama dan tertua di dunia yang diasaskan oleh David Marmel yang juga presidennya. Ia diwujudkan pada 1984 dan kini mempunyai pengarah nasional di 80 negara. — Bernama

Advertisement