Anda di sini

Sarawak perlukan sekitar RM154 bilion dalam tempoh 11 tahun

ABANG JOHARI
ABANG JOHARI

KUCHING: Sarawak memerlukan anggaran peruntukan sekitar RM154 bilion dalam tempoh 11 tahun akan datang bagi menyediakan semua infrastruktur, utiliti dan kemudahan diperlukan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi merealisasikan matlamat Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

"Selama bertahun kita bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pembangunan. Sehingga kini kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM79 bilion untuk pembangunan negeri ini iaitu dari tahun 1963 dan seterusnya. 

"Bagaimanapun peruntukan yang diluluskan mulai berkurangan dari Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan rancangan seterusnya," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan DUN di sini, semalam.

Sehubungan itu Abang Johari berkata Sarawak harus menguruskan masa depannya sendiri dan perlu mempunyai dana mencukupi bagi membiayai pembangunan yang telah dirancang untuk negeri ini.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan untuk pembiayaan pembangunan memandangkan senario politik semasa.

"Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada 13 Januari 2017, saya telah memutuskan untuk melaksanakan beberapa langkah berani untuk meningkatkan hasil negeri dan menambahkan perbelanjaan pembangunan kita untuk menyokong inisiatif memajukan negeri," katanya.

Abang Johari memberitahu peruntukan pembiayaan negeri untuk pembangunan semakin meningkat dan sehingga hari ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM89 bilion. 

"Tahun ini sahaja kita telah meluluskan RM9.1 bilion untuk pembangunan, iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah bajet pembangunan negeri," tegasnya.