Anda di sini

Projek LRT Fasa 1 diteruskan

Advertisement
 Abang Johari berbincang sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing (kiri) dan Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kanan) selepas Persidangan DUN selesai semalam. — Gambar Chimon Upon
BINCANG: Abang Johari berbincang sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing (kiri) dan Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kanan) selepas Persidangan DUN selesai semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Fasa 1 yang melibatkan laluan Samarahan Expressway-Kuching akan diteruskan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan pelaksanaan LRT yang sebelum ini ditangguhkan sementara atas kritikan beberapa pihak, bagaimanapun kini menerima permintaan daripada penduduk setempat.

“Ya kita akan teruskan dengan projek LRT Fasa 1 iaitu laluan antara Samarahan Expressway-Kuching dan pelaksanaan dalam masa terdekat.

“Kita menerima banyak permintaan terhadap pengangkutan awam di kawasan berkenaan terutama daripada pelajar universiti yang dianggarkan 20,000 orang dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Menurut beliau, kumpulan berkenaan atau penduduk di kawasan terbabit tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kerajaan komited mahu menyediakan pengangkutan awam seperti LRT sebagai kemudahan.

Abang Johari mendedahkan, projek laluan LRT fasa pertama berkenaan melibatkan kos yang lebih rendah berbanding rekaan asal memandangkan ia menggunakan laluan lebih singkat.

Jelasnya, ia dianggarkan kurang daripada RM5 bilion selain menggunakan teknologi baharu dan kajian kebolehlaksanaan mengenai laluan berkenaan telah dikendalikan.

“Kajian memang telah kita kendalikan cuma sebelum ini kita tidak dapat melaksanakannya disebabkan kritikan.

“Namun, kini kita menerima permintaan yang banyak mengenai pengangkutan berkenaan bagi mengatasi masalah kesesakan laluan itu dan dengan itu, kita akan meneruskannya,” tegas beliau.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya Abang Johari berkata, semua maklum bahawa laluan dari Kuching ke Samarahan sentiasa mengalami kesesakan yang teruk terutama waktu kemuncak, iaitu pagi dan selepas waktu pejabat.

“Saya menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya dari kedua-dua destinasi ini yang menyatakan kekecewaan mereka menghadapi kesesakan yang panjang.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita mendengar kepada permintaan warga bandar raya untuk sistem pengangkutan awam lebih baik dan cekap,” tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement