Anda di sini

‘Avengers: Endgame’ rampas kedudukan ‘Titanic’ sebagai filem No. 2 sepanjang zaman

Advertisement
 

FILEM ‘Avengers: Endgame’ terbitan Disney and Marvel telah mencipta sejarah dengan mengaut AS$2.19 bilion di seluruh dunia dalam tempoh tidak sampai dua minggu untuk menjadi filem No. 2 sepanjang zaman.

Angka tinggi tersebut, yang merangkumi pungutan filem itu sebanyak AS$147.4 juta pada hujung minggu lepas di Amerika Utara, meletakkan filem adiwira blokbuster itu di atas ‘Star Wars: The Force Awakens’, yang mengaut AS$2.07 bilion, dan malah ‘Titanic’ (AS$2.18 bilion).

Hanya ‘Avatar’ sahaja (AS$2.79 bilion) lebih berjaya, namun ‘Avengers’ mencapai jumlah rekodnya dalam masa hanya 11 hari sahaja.

Penganalisis Hollywood meramalkan tayangan yang lama untuk ‘Avengers’, yang mengundang penarafan 95 peratus yang unik sekali dalam laman sesawang Rotten Tomatoes dan memaparkan barisan bintang termasuk Robert Downey Jr, Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Bradley Cooper dan Josh Brolin.

Ketinggalan beberapa tahun cahaya di belakang ‘Avengers’, studio saingan masih berjaya meletakkan filem baharu di tiga tempat box-office seterusnya.

Filem aksi psikologi terbitan Sony berjudul ‘The Intruder’ menduduki tempat kedua, dengan AS$10.9 juta.

Michael Ealy dan Meagan Good berlakon sebagai pasangan muda yang membeli rumah impian di Napa Valley, California, tanpa menyedari bahawa pemilik lamanya (Dennis Quaid) merancang untuk mengambilnya balik – dengan apa jua kos.

Di tempat ketiga adalah filem komedi romantik terbitan Lionsgate ‘Long Shot’, dengan AS$9.7 juta.

Seth Rogen membawa watak Fred Flarsky, seorang wartawan yang tidak ada kerja dan mempunyai minat romantik terhadap bekas penjaganya semasa kecil (Charlize Theron) yang – sekarang seorang calon untuk jawatan presiden Amerika Syarikat – mungkin sedikit di luar jangkauannya.

Filem animasi terbitan STX Films ‘UglyDolls’ menduduki tempat keempat, dengan AS$8.6 juta. Jalan ceritanya? Sekumpulan anak patung yang kekok dengan telinga tajam dan gigi buruk – penduduk Uglyville – menghadapi dunia yang sukar tetapi akhirnya menjumpai kecantikan dalaman mereka. Suara Kelly Clarkson, Nick Jonas, Wanda Sykes dad Janelle Monae dipaparkan.

Di tempat kelima, tetap mantap pada minggu kesembilan, adalah filem terbitan Disney ‘Captain Marvel’, dengan AS$4.3 juta. Brie Larson berlakon sebagai seorang bekas juruterbang pejuang yang memperolehi adikuasa.

Melengkapkan 10 filem teratas pada hujung minggu lepas adalah ‘Breakthrough’ (AS$3.9 juta), ‘The Curse of La Llorona’ (AS$3.7 juta), ‘Shazam!’ (AS$2.5 juta), ‘Dumbo’ (AS$1.5 juta) dan ‘Little’ (AS$1.4 juta). — AFP

Advertisement