Anda di sini

Amang seksual ke atas dua anak, penganggur direman enam hari

Advertisement
 

MIRI: Seorang penganggur yang ditangkap kerana disyaki melakukan amang seksual ke atas dua anak kandungnya yang berusia 10 dan 12 tahun diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman enam hari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Clarissa Carol dari Balai Polis Pusat Miri.

Ketika mengemukakan permohonan remannya Clarissa memberitahu, pada 7 Mei lalu seorang ibu telah membuat laporan di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu, 48, yang bekerja sebagai tukang cuci memberitahu sekitar jam 10 pagi hari sama, ketika sedang berada di tempat kerja di kawasan Senadin, beliau menerima panggilan telefon daripada anak perempuan sulungnya.

Anaknya itu memberitahu pengadu bahawa bapa mereka telah berkelakuan tidak senonoh terhadap dua adik perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun semasa ketiadaan pengadu di rumah.

Menurut pengadu, kejadian ini telah berlaku beberapa kali tanpa pengetahuannya dan dia hanya mengetahui perkara tersebut setelah diberitahu oleh anak-anaknya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11.15 malam, 7 Mei lalu, polis berjaya menahan suspek di rumahnya di Tudan Fasa 1 di sini kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Dalam permohonan lanjutnya Clarissa memberitahu, reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 51 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini yang dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2014.

Selain itu katanya, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan semua barang bukti, laporan perubatan dan sekiranya dibebaskan awal, suspek dikhuatiri akan mengganggu mangsa-mangsa yang merupakan anak kandungnya.

Mahkamah membenarkan reman enam hari ke atas suspek sehingga 14 Mei ini.

  • oleh
  • Advertisement