Anda di sini

Tangani masalah ladang ternakan dekat kawasan penempatan dan kampung

Advertisement
 Miro menyampaikan perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN semalam.
BERUCAP: Miro menyampaikan perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN semalam.

KUCHING: Tindakan segera mesti dilakukan untuk menangani masalah ladang ternakan yang dekat dengan kawasan penempatan dan kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata, beberapa ladang ternakan ayam dan babi dibina berdekatan dengan kawasan penempatan dan kampung.

“Bahkan ada ladang ini berada kurang daripada 50 meter dari rumah penduduk kampung. Antara kawasan yang mempunyai ladang ternakan di kawasan saya  ialah penternakan ayam dan babi berdekatan Kampung Kandis Baru, penternakan ayam berdekatan Kampung Merembeh dan penternakan babi di kawasan Jambusan, Batu.

“Oleh itu, saya mohon kepada jabatan-jabatan yang berkaitan supaya tindakan segera diambil dalam menangani permasalahan ini,” katanya semasa menyampaikan perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Miro menggesa jabatan-jabatan berkaitan yang terlibat dengan prosedur operasi standard (SOP) operasi kuari di Sarawak untuk lebih kerap menjalankan pemantauan terhadap kuari yang beroperasi di kawasannya.

“Setakat ini, terdapat 10 kuari beroperasi di kawasan DUN Serembu. SOP ini termasuk pemantauan kawalan debu dan partikal, kekuatan bahan letupan yang diguna pakai, bunyi bising dan muatan yang sepatutnya dibawa oleh setiap lori yang beroperasi mengangkut batu-batu dari kuari terbabit,” ujarnya.

Beliau turut memohon Jabatan Tanah dan Survei supaya menyelesaikan permasalahan lori-lori kuari yang menggunakan jalan di tengah-tengah Kampung Keranji untuk mengangkut batu-batu dari kuari di kawasan tersebut.

“Mohon juga agar jabatan terlibat mencari alternatif untuk membina jalan baharu agar lori-lori ini tidak lagi melalui jalan di tengah-tengah Kampung Keranji untuk mengangkut muatan mereka.

“Maka itu, tindakan segera perlu diambil ke atas permasalahan ini kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan kesihatan penduduk kampung tersebut,” ujarnya.

Advertisement