Anda di sini

Jadikan UNION platform salurkan aduan mengenai perkhidmatan kerajaan

Advertisement
Talib menunjukkan teks ucapan penggulungan kementerian semasa di lobi DUN di sini, hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Sebanyak 31 aduan orang awam diterima Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) sehingga 3 Mei 2019.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata aduan diterima adalah berkaitan dengan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan.

Menurut beliau, semua aduan sudah diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal.

"Daripada jumlah aduan itu 25 aduan atau bersamaan dengan 81 peratus telah diselesaikan manakala enam lagi aduan masih dalam penelitian dan semakan lanjut. 

"Selain itu, UNION juga mengambil inisiatif secara proaktif untuk membuat siasatan berdasarkan pemerhatian," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Selain itu menurut Talib, UNION juga meneliti hasil Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Dalam, Jabatan Ketua Menteri untuk tindakan seterusnya, jika perlu.

Melalui Ombudsman, beliau berkata kerajaaan negeri sebenarnya telah membuka ruang seluas-luasnya untuk masyarakat umum memberi pandangan yang konstruktif tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam negeri. 

"Platform ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam dengan menyalurkan atau membuat aduan ke UNION. 

"Marilah kita sama sama memainkan peranan masing-masing secara lebih objektif, konstruktif dan profesional demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam," katanya.

  • oleh
  • Advertisement