Anda di sini

Karnival PSKPP ruang untuk warga pendidikan kekal sihat dan cergas

Advertisement
__alt__
__alt__
__alt__

WARGA pendidikan wajar keluar daripada kepompong tugas rasmi mereka dengan menyertai aktiviti sukan dan kebudayaan yang mampu menjadikan mereka kekal sihat dan cergas.

Karnival Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Cawangan Kanowit yang berlangsung dari 11 hingga 13 April lepas adalah ruang kepada semua warga pendidikan di Kanowit untuk menyertai aktiviti sukan dan kebudayaan selain menjalankan tugas rasmi masing-masing di stesen bertugas.

Menurut Ketua Unit UPPK, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit Willy Johnson, setiap warga pendidikan di daerah Kanowit yang berdaftar sebagai ahli PSKPP daerah layak dan amat digalakkan menyertai karnival ini.

Willy berharap karnival ini terus diadakan bagi membina rangkaian komunikasi sesama warga pendidikan daerah Kanowit terutama bagi meraka yang berada di beberapa buah sekolah yang terletak di pedalaman.

Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua sekolah dalam Zon SEDAYA yang telah menjadi tuan rumah terbaik pada penganjuran PSKPP kali ini.

Karnival kali ini yang melibatkan 413 guru dan pegawai kumpulan pelaksana mempertandingkan 15 acara iaitu memasak, karaoke, menyumpit, memancing, pingpong, sukaneka VVIP, futsal, senam kenyalang, scrabble, bola baling, badminton, bola tampar, bola jaring, sepak takraw dan bola sepak.

Acara-acara ini dipecahkan lagi mengikut kategori menjadikan 21 acara secara keseluruhannya. Kesemua acara kali ini disertai oleh empat zon di PPD Kanowit iaitu Zon SEDAYA, Zon Kanowit, Zon DAP dan Zon SFX.

Empat acara akhir diadakan pada majlis makan malam di RH Hotel iaitu karaoke lelaki terbuka, karaoke perempuan terbuka, karaoke ‘otai’ terbuka dan senam kenyalang. Majlis disempurnakan oleh ADUN 36 Ngemah, Alexander Vincent yang turut menyumbangkan dana sebanyak RM20,000 kepada PSKPP Cawangan Kanowit bagi aktiviti tahunan mereka.

Majlis malam tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan yang menang pada karnival kali ini.

Pada karnival kali ini, Zon Kanowit dinobat juara keseluruhan apabila memenangi 13 kategori acara dengan mengutip 80 mata. Zon DAP pula memenangi dua kategori (55 mata) manakala Zon SEDAYA (47 mata) dan Zon SFX (45 mata) masing-masing memenangi tiga kategori acara.

Menurut Ketua Zon Kanowit tahun ini iaitu guru besar SK Ulu Machan, Roslind John Little, persiapan awal dan latihan berpusat secara berkala telah menjadikan Zon Kanowit satu pasukan yang kuat sehingga berupaya mendominasi acara-acara karnival.

Roslind mengucapkan berbanyak terima kasih kepada warga Zon Kanowit atas kerjasama dan sokongan terhadap beliau sehingga menjadikan pasukan mereka johan keseluruhan.

Dalam ucapan penutupan Pegawai PPD Kanowit Bungin Ragoon pula berkata, suasana PSKPP di daerah Kanowit amat berbeza dan sangat meriah.

Bungin amat berpuas hati atas penyertaan semua warga pendidikan daerah Kanowit serta komitmen setiap zon dalam mempersiapkan pasukan masing-masing dan berharap pentas karnival ini diteruskan bagi membina semangat muhibah serta setia kawan dalam komuniti.  

Turut menyerikan majlis tersebut ialah Pengerusi PSKPP Zon Kanowit Etam Linggi, Willy dan Yang Dipertua MGB Daerah Kanowit Tius Sigi.

Advertisement