Anda di sini

Syahadah musim ke-14 sepanjang Ramadan ini di RTM mulai 6 Mei

Advertisement
 Penerbit Syahadah Mohd Zuramin Ismail bersama jurukamera merakamkan salah satu babak dalam episod Legasi Anbiya.
DI LOKASI: Penerbit Syahadah Mohd Zuramin Ismail bersama jurukamera merakamkan salah satu babak dalam episod Legasi Anbiya.

LEBIH sedekad bersiaran sepanjang bulan Ramadan, dokumentari Syahadah antara program yang dinantikan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) terutama menjelangnya Ramadan Al-Mubarak.

Bertepatan dengan tajuknya Syahadah, ruang lingkup dokumentari ini melangkaui batas dan sempadan negara.

Bertemakan ‘Satu Lafaz Berbeza Resam’, kali ini memaparkan kehidupan saudara Islam dan bukan Islam walaupun berbeza warna kulit dan budaya di Terengganu, Kelantan (enam episod) juga Kemboja dan Vietnam (11 episod), satu episod pengenalan dan episod akhir di sebalik tabir.

Program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM ini akan bersiaran setiap hari, mulai 6 Mei 2019 di TV1, jam 6.30 petang, manakala TV2 menyiarkannya mulai 7 Mei ini, jam 5 petang.

Musim ke-14 ini akan memaparkan aktiviti umat Islam secara kontemporari serta melihat perjuangan mereka memartabatkan Islam dalam kehidupan harian mereka.

Merapatkan hubungan diplomatik, sosio-ekonomi dan budaya di antara negara Islam dengan serantau. Juga membuktikan Islam sebagai agama universal.

Ikuti episod ‘Satu Lafaz Berbeza Resam’ merupakan rangkuman bagi setiap enam episod Syahadah yang dijalankan di Terengganu dan Kelantan serta pengenalan kedatangan Islam ke Terengganu melalui laluan sutera dari Guangzhou China ke Tanah Melayu.

Bingkisan mengenai peninggalan batu bersurat juga mengisi ruangan pengenalan episod ini.

Seterusnya tajuk ‘Legasi Anbiya’ pula mengenai warisan yang ditinggalkan oleh Ulama Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus. Pelbagai aktiviti dakwah diselitkan dalam memartabatkan agama Islam sebagai nadi kehidupan masyarakat.

Dalam episod ‘Nur Islam’, saksikan perkongsian tentang kisah Laksamana Cheng Ho ke Melaka sekitar tahun 600 masihi. Sebahagian daripada mereka mendarat di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu.

Sekalipun Cina Tiruk mengidentifikasikan mereka sebagai etnik Cina, namun masyarakat ini menganggap mereka lebih mirip kepada bangsa Melayu. Asimilasi separa budaya Cina dalam pembentukan etnik Cina Tiruk atau Baba Terengganu, telah membentuk warisan yang unik dan tersendiri.

Lebih menarik dalam tajuk ‘Kalam Murabbi’, mengenai Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan atau Madrasah Diniyah Fakhriyah bagaikan permata yang bersinar. Ia ditubuhkan untuk melentur golongan muda, agar menjadi ilmuwan Islam di persada kejayaan.

Pelajar-pelajar yang datang ke pondok ini terdiri daripada pelajar-pelajar dari Selatan Thailand, Kemboja dan pelajar tempatan. Ramai tokoh ulama lahir dari pengajian sekolah pondok ini.

Dalam tajuk ‘Nur Hidayah’, ikuti kisah seorang murid berketurunan Cina Hokkien bernama Por Hui Ling mencatat keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa 4 (UPKK) tahun 2018.

Meskipun dilahirkan sebagai bangsa Cina dan menganut agama Buddha, namun ia bukan satu kesalahan buatnya untuk mempelajari tentang agama lain bagi menambah pengetahuan.

Ikuti banyak lagi perkongsian menarik program ini di RTM.

Advertisement