Anda di sini

Sarawak Pay kian popular

 Abang Johari ditemani (dari kiri) Dr Sim, Chai dan Zaidi menunjukkan cara menggunakan Sarawak Pay pada majlis pelancaran Sarawak Pay di KK Super Mart di Kota Sentosa, semalam.
MEMUDAHKAN: Abang Johari ditemani (dari kiri) Dr Sim, Chai dan Zaidi menunjukkan cara menggunakan Sarawak Pay pada majlis pelancaran Sarawak Pay di KK Super Mart di Kota Sentosa, semalam.

KUCHING: Aplikasi pintar dompet elektronik (e-dompet), Sarawak Pay yang diperkenalkan kerajaan Sarawak pada 2017 kini kian popular dalam kalangan rakyat dan peniaga di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, sejak dilancarkan Sarawak Pay kini mencatat transaksi keseluruhan berjumlah 172,429 setakat 28 April tahun ini.

Malah beliau mendedahkan, nilai keseluruhan transaksi tersebut berjumlah RM14,199,124.53.

“Dalam masa sama setakat 28 April tahun ini, seramai 68,500 pengguna berdaftar dengan aplikasi Sarawak Pay ini, selain 2,400 syarikat komersial di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sarawak Pay di KK Super Mart di Jalan Liu Shan Bang, Batu 7, Kota Sentosa di sini, semalam.

Abang Johari berkata, jumlah mereka yang berdaftar dan menggunakan aplikasi Sarawak Pay meningkat setiap hari.

“Ini menunjukkan masyarakat kita dan peniaga sudah menukar cara hidup yang lebih moden seiring dengan kemajuan teknologi masa kini,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapura Net dan Union Pay, China bagi melaksanakan pembayaran pintar menerusi telefon di negara tersebut.

Namun jelasnya, ia masih menunggu kelulusan daripada Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan di dua negara berkenaan.

Tambahnya, jika perkara itu sudah mendapat kelulusan dan mempunyai kedudukan yang sah, ia memudahkan rakyat untuk berbelanja tanpa memerlukan wang tunai semasa melancong di Singapura dan China, termasuk pelancong dari dua negara berkenaan yang melancong ke negeri ini.

“Hanya perlu gunakan telefon bimbit anda sahaja untuk menyelesaikan bil hotel, kedai makan dan sebagainya menggunakan aplikasi pintar ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama KK Mart dalam mengaplikasikan penggunaan Sarawak Pay dalam perniagaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata kerajaan negeri kini giat menaik taraf infrastruktur di negeri ini terutamanya di Kuching untuk menjadikannya sebuah bandar raya pintar.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM6 juta bagi menaik taraf kemudahan di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abd Ghani, Pengerusi Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak, Pengerusi Eksekutif KK Super Mart Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan tetamu kehormat lain.