Anda di sini

Filem baharu Tarantino akan turut bersaing di festival Cannes

Advertisement
 

FILEM baharu Quentin Tarantino yang paling ditunggu-tunggu ‘Once Upon a Time in Hollywood’ akan turut bertanding dalam festival filem Cannes bulan ini, kata para penganjur pada Khamis, selepas sedikit keraguan mengenai sama ada filem itu sempat untuk ditayangkan di sana.

Filem itu, yang dibintangi oleh Brad Pitt dan Leonardo DiCaprio, akan bersaing dengan karya-karya oleh pengarah veteran Ken Loach dan Terrence Malick bagi memenangi hadiah Palme d’Or yang menjadi rebutan di festival yang akan bermula pada 14 Mei ini.

“Kami bimbang filem itu belum lagi bersedia,” kata pengarah festival Thierry Fremaux, sambil menambah yang Tarantino telah menyiapkannya lebih awal selepas menghabiskan empat bulan yang panjang di bilik penyuntingan.

“Dia sudah pasti akan ada di sana, 25 tahun selepas Palme d’Or untuk ‘Pulp Fiction’, dengan filem siap ditayangkan dalam 35mm dan barisan pelakon bersamanya,” kata Fremaux.

“Filemnya adalah surat cinta kepada Hollywood mengenai zaman kecilnya, jelajah muzik rock pada 1969, dan satu penghormatan kepada pawagam secara keseluruhannya,” katanya mengenai karya itu, yang menceritakan mengenai pelakon lagak ngeri Hollywood dan akan ditayangkan selama dua jam 45 minit.

Pada bulan lepas, Fremaux membayangkan yang dia akan membiarkan pintu terbuka untuk pembikin filem ‘Reservoir Dogs’ sehingga minit-minit terakhir.

Loach, 82, yang memenangi hadiah Palme d’Or pada tahun 2016 untuk ‘I, Daniel Blake’, akan kembali dengan ‘Sorry We Missed You’, manakala Malick akan menayangkan buat pertama kali filem Perang Dunia Ke-2 arahannya, ‘A Hidden Life’. — AFP

Advertisement