TAWAU: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GPBBT) bimbang takrif had usia yang hendak diusulkan dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) akan mengakibatkan pertubuhan (NGO) belia di negeri ini berada dalam dilema.
Kebimbangan itu disuarakan berikutan hasrat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengemukakan usul takrifan baharu usia belia di parlimen kelak.
Sedangkan Dasar Belia Sabah (DBS) mengikut acuan negeri ini meletakkan had usia belia 15-30 dan 31-40 tahun, serta dilancarkan Ketua Menteri pada 21 Februari lepas.
Pengerusinya, Andi Muhd Suryady Bandy berkata sekiranya takrif baharu itu diluluskan di parlimen, GPBBT khuatir golongan itu akan ‘terjerat’ dalam dua dasar belia berbeza.
“Kita menyokong penuh kenyataan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) supaya kerajaan pusat tidak tergesa-gesa menurunkan takrif umur belia di negara ini melalui DBM.
“Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) perlu menyiapkan pemimpin belia di bawah 30 tahun dan menyediakan platform sesuai untuk pemimpin lebih 30 tahun.
“Kita khuatir pengenalan takrif usia DBM secara mendadak akan memberikan kesan tidak baik kepada NGO belia sedia ada di seluruh negara,” katanya di sini.
Suryady berkata rekod menunjukkan penglibatan belia berusia 15-30 tahun dalam NGO belia tunggal termasuk yang bergabung dengan GPBBT terlalu kurang dan tidak ketara.
Menurutnya, Menteri KBS perlu memberikan transisi masa yang wajar untuk memastikan setiap NGO belia benar-benar dapat menyediakan pelapis kepimpinan organisasi mereka.
“Kita mahu melihat proses peralihan kepimpinan dapat dilakukan dengan baik, bukan sahaja menurut kehendak kerajaan tetapi lebih penting mengikut keperluan NGO belia.
“Sebab itu kita berharap kerajaan akan mempertimbangkan saranan GPBBT bersama MBS demi kebaikan belia di seluruh negara, khususnya nasib belia di Sabah,” katanya.