Anda di sini

Tersentak bila umpan disambar kuat tenggiri

Advertisement
 Ikan-ikan yang ditangkap dibahagi sama rata dengan para peserta yang mengikuti trip memancing di perairan Bintulu.
BAHAGI: Ikan-ikan yang ditangkap dibahagi sama rata dengan para peserta yang mengikuti trip memancing di perairan Bintulu.
 Peserta memancing menunjukkan ikan kerapu dan merah yang berjaya ditangkap.
BERJAYA: Peserta memancing menunjukkan ikan kerapu dan merah yang berjaya ditangkap.
 Zulkipli menunjukkan ikan tenggiri yang berjaya dijinakkannya dalam tempoh 10 minit.
BERHASIL: Zulkipli menunjukkan ikan tenggiri yang berjaya dijinakkannya dalam tempoh 10 minit.
Jefferi turut berjaya menangkap ikan merah.
REZEKI:Jefferi turut berjaya menangkap ikan merah.
 Shamsuddin dan peserta yang menyertai trip memancing tidak ketinggalan merakam gambar bersama
PUAS: Shamsuddin dan peserta yang menyertai trip memancing tidak ketinggalan merakam gambar bersama

PERAIRAN Bintulu tidak dinafikan kaya dengan sumber ikan terutama di lubuk-lubuk tertentu yang pastinya membawa rezeki besar kepada kaki pancing dan nelayan sekiranya dapat meraih hasil laut itu dalam jumlah yang banyak.

Beberapa lubuk yang dikenal pasti dihuni beberapa spesies ikan antaranya ikan tenggiri, merah, kerapu, jemuduk atau GT dan tongkol kerap ditangkap oleh kaki pancing dan nelayan.

Selain itu ikan layaran turut menghuni lubuk tertentu di perairan Bintulu yang juga pernah berjaya ditangkap kaki pancing.

Justeru trip memancing tiga hari dua malam bersama Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak dan Pusat Khidmat PBB N67 Jepak pada 17 hingga 19 April lepas ke lubuk ikan di perairan Bintulu tidak mengecewakan pesertanya bahkan mereka tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya berjaya menangkap ikan tenggiri, merah dan kerapu.

Seorang daripada peserta Zulkipli Sahmat, 30, berkata dia berjaya menangkap ikan tenggiri sederhana besar dengan berat lebih lapan kilogram dalam trip memancing menggunakan kapal besar berbanding dengan bot sebelum ini.

“Saya mengguna teknik casting atau speed jigging untuk mengumpan ikan itu sebelum joran disentap kuat namun saya berjaya menjinak dan menariknya ke dalam kapal dalam tempoh antara sembilan hingga 10 minit,” ujarnya.

Katanya, kejayaan menangkap ikan tenggiri itu antara rekod peribadi sepanjang berkecimpung dalam hobi memancing.

“Tidak begitu sukar dan bukan tempoh yang lama untuk menjinak ikan ini yang akhirnya ikan itu tewas dan saya berjaya menangkapnya,” ujarnya yang berpengalaman memancing ikan besar sebelum ini.

Tambahnya, paling lama dia `bertarung’ dengan ikan sebelum ini sehingga berjaya menjinak dan menangkapnya adalah spesies giant trevally (GT) atau ikan jemuduk yang memakan masa sehingga 30 minit.

Tenggiri (spanish mackarel atau narrow-barred spanish mackarel) merupakan spesies ikan air masin yang banyak terdapat di perairan laut negara ini dan di peringkat global.

Ikan berkenaan cenderung berenang di kawasan pesisir dan laut dalam terutama di kawasan terumbu karang atau berbatu. Kawasan kedalaman air sekitar 10 hingga 50 meter merupakan habitat pilihan bagi spesies pemangsa ini.

Begitupun Zulkipli berkata dia begitu teruja mengikuti trip kali ini memandangkan ia trip dengan kapal besar ke laut dalam kerana kebiasaannya dia mengguna bot untuk memancing dalam lingkungan 30 batu nautika dari kawasan darat Bintulu.

“Saya dipelawa pihak penganjur menyertai trip itu dan peralatan serta teknik yang saya buat sepanjang aktiviti memancing adalah `casting’ atau `speed jigging’ dan pemancing lain mengguna mesin kekili elektrik (bangla) dan teknik bottom,” jelasnya.

Ujarnya, apa yang penting trip memancing kali ini dia dapat mengenali rakan-rakan baharu dan berkongsi idea serta pengalaman tentang teknik memancing di laut dalam sekali gus dapat memupuk semangat kerjasama dengan pemancing lain.

Dalam pada itu Asra Ahmid,36, yang dalam trip memancing yang sama tidak menjangka mampu menangkap ikan merah dalam aktiviti yang pertama kali disertainya.

“Ini kali pertama saya ikut trip memancing laut dalam dan kali pertama juga dapat tangkap ikan, tepat dengan tarikh lahir saya 18 April,” ujarnya yang teruja dengan keberhasilannya menangkap ikan merah.

Katanya, ikan merah senang dijinakkan kerana dalam tiga minit sahaja dia berjaya menangkapnya namun beratnya tidak pasti.

“Semasa mula-mula umpan disentap dan disambar ikan itu, sukar untuk menggambarkan perasaannya, berdebar-debar namun ikan itu dapat ditewaskan dengan mudah dan akhirnya berjaya ditangkap masuk ke dalam kapal,” katanya.

“Ia satu memori indah dalam trip memancing bersama ahli Exco PBB Jepak kerana ini kali pertama saya memancing di laut dalam dan kami menangkap banyak ikan,” jelasnya.

“Pada saya semangat kerjasama sesama rakan dalam trip ini menjadikan aktiviti memancing tidak membosankan selama tiga hari dua malam serta tidak terasa hari berlalu selama tiga hari berada di laut,” ujarnya.

Ketua Pemuda PBB Jepak Jefferi Johari berkata, trip memancing yang disertai 16 orang itu adalah trip riadah Exco Pemuda cawangan dan ahli jawatankuasa (AJK)ranting Pemuda bersama pejabat Pusat Khidmat N67 Jepak.

“Banyak kenangan (pengalaman) menarik yang dilalui peserta selama tiga hari dua malam berada di laut terutama semasa para pemancing bertarung dan menangkap ikan-ikan daripada spesies tenggiri dan merah,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerjasama dalam satu pasukan apabila berada dalam satu kapal amat ditekankan dalam trip memancing ini dan harapan saya melalui trip ini hubungan kami dalam Exco PBB Jepak akan menjadi lebih erat bersama AJK lainnya.

Turut menyertainya adalah Setiausaha Cawangan PBB Jepak Shamsuddin Abdul Razak.

  • oleh
  • Advertisement