Anda di sini

166 peserta sertai perkhemahan unit beruniform SMK Santubong

Advertisement
 Pengakap menyertai pertandingan kawad kaki.
DISIPLIN: Pengakap menyertai pertandingan kawad kaki.

SERAMAI 166 peserta terpilih mewakili tujuh badan unit beruniform menyertai Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong di Kuching, baru-baru ini.

Program perkhemahan yang berlangsung dua hari itu menyediakan pelbagai aktivti yang bercorak menguji ketahanan dan kemahiran para peserta dalam aktiviti unit beruniform di sekolah.

Penglibatan sebegini dilihat mampu menjadi asas kepada penyemaian nilai murni di samping dapat mendisiplinkan generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara suatu ketika nanti.

Bertempat di Pusat Kokurikulum Kem Santubong, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak aktiviti yang diadakan secara tahunan ini juga bagi meneroka dan merungkai segala isu dan cabaran yang perlu ditangani secara berhemah oleh warga sekolah dalam pelaksanaan kegiatan beruniform.

 Unit beruniform Pengakap dinobatkan juara keseluruhan.
KAMI JUARA: Unit beruniform Pengakap dinobatkan juara keseluruhan.
 Peserta terbaik lelaki dan perempuan Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 SMK Santubong.
TAHNIAH: Peserta terbaik lelaki dan perempuan Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 SMK Santubong.

Penganjuran edisi kelima ini dianjurkan dengan jayanya oleh badan beruniform Kadet Remaja sekolah.

Selaku Komanden Kem, Syed Mohd Mohd Zainal Al Bidin berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama yang diberi semua warga sekolah sepanjang aktiviti kem berkenaan dijalankan.

Beliau berkata, konsep pertandingan dipratikkan dalam setiap aktiviti yang dikelolakan dengan tujuan menyemarakkan lagi semangat bersaing secara sihat dalam kalangan ahli unit beruniform ini.

Menurut beliau lagi, terdapat pelbagai aktiviti diadakan iaitu pertandingan simulasi pertolongan cemas, pencarian harta karun, pertandingan cef rimba, pertandingan malam kebudayaan, pertandingan ikatan dan simpulan, cabaran Robin Hood, pertandingan ‘wild wild guess’ dan pertandingan kawad kaki yang merupakan acara kemuncak.

Di samping itu, ada juga aktiviti tambahan seperti ‘flying fox’ dan ‘wall climbing’ untuk menguji keberanian para peserta.

Aktiviti yang bercorak kerohanian juga diberi penekanan serius dan peserta dipantau secara rapi dalam menyempurnakan solat berjemaah setiap waktu.

 Sebahagian daripada aktiviti yang mengisi Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 SMK Santubong.
LASAK: Sebahagian daripada aktiviti yang mengisi Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 SMK Santubong.

Program kuliah subuh oleh fasilitator turut diadakan. Justeru, memberi gambaran kepada peserta dalam mengerja kehidupan di dunia, kehidupan akhirat juga jangan dilupakan, di samping menimba pengetahuan tambahan bagi melengkapkan diri murid menghadapi cabaran mendatang katanya.

Dalam pertandingan, unit beruniform Pengakap berjaya mengekalkan kejuaraan dengan memenangi lima acara yang dipertandingkan.

Naib johan pula dirangkul unit beruniform Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan tempat ketiga, disandang oleh unit beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia.

Dalam perkhemahan kali ini, gelaran individu terbaik perkhemahan dinobatkan kepada Rusydi Jamil (lelaki) dari KRS dan Nurafizah Iswandi (perempuan) dari Pengakap.

Manakala Safarudin Abdullah memenangi kategori komanden terbaik semasa pertandingan kawad kaki yang dimenangi oleh Kadet Remaja Sekolah.

Majlis penangguhan rasmi Kem Perkhemahan Bersepadu Unit-Unit Beruniform Edisi 5.0 disempurnakan Pengetua SMK Santubong Chai Nyi.

Advertisement