Anda di sini

Impian Ahli Parlimen Lubok Antu, lahirkan pelajar cemerlang akademik

Advertisement
 Jugah (tiga kiri) memukul gong sebagai tanda merasmikan Majlis Merarau SK Lubok Antu, sambil disaksikan yang lain.
RASMI: Jugah (tiga kiri) memukul gong sebagai tanda merasmikan Majlis Merarau SK Lubok Antu, sambil disaksikan yang lain.

MENYIMPAN hasrat untuk melihat generasi pelajar di luar bandar, seperti di konstituensi Lubok Antu, mencapai kecemerlangan dalam akademik adalah satu impian yang amat berani.

Namun bagi Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, impian berani itulah juga satu-satunya cara untuk mengubah wajah di luar bandar yang miskin kepada membangun, suatu hari kelak.

Justeru beliau mahu impian tersebut dikongsi bersama ibu bapa, agar mereka turut terlibat sama dan memainkan peranan dengan mengutamakan pendidikan anak-anak jika mahu melihat generasi itu berjaya pada kemudian hari.

Sehubungan itu Jugah turut menggesa agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah dalam kawasan Parlimen Lubok Antu supaya bersama-sama berusaha untuk membangunkan pendidikan di sekolah masing-masing.

“PIBG perlu bergerak secara aktif dan terancang agar kewujudannya dapat memberi sumbangan lebih bermakna ke arah kecemerlangan sekolah dan pencapaian akademik anak-anak,” katanya.

 Ahli-ahli PIBG, ketua jabatan dan masyarakat yang hadir sempena Majlis Merarau yang diadakan di SK Lubok Antu, baru-baru ini.
SAMBUTAN: Ahli-ahli PIBG, ketua jabatan dan masyarakat yang hadir sempena Majlis Merarau yang diadakan di SK Lubok Antu, baru-baru ini.

Jugah memberitahu penduduk luar bandar harus menyedari pendidikan menjadi aset penting dan mampu mengubah taraf hidup sama ada anak itu sendiri ataupun keluarga mereka pada masa depan.

Ahli Parlimen Lubok Antu itu menegaskan kemiskinan di luar bandar boleh diselesaikan melalui pendidikan dan generasi muda Lubok Antu hari ini adalah penjana impian tersebut dan menjadikan hasrat beliau melahirkan golongan berpendidikan di Lubok Antu menjadi kenyataan satu hari kelak.

Hampir semua sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Lubok Antu sudah dilawati dan diberikan bantuan yang sewajarnya, ini membuktikan bahawa beliau sememangnya ingin melihat anak watan kelahiran Lubok Antu berjaya dalam pendidikan dengan cemerlang.

“Impian saya ingin melihat pelajar dari Parlimen Lubok Antu ini sebagai pelajar cemerlang bukan sahaja peringkat sekolah malah negeri ataupun Malaysia.

“Jika kita mampu melahirkan pelajar cemerlang dapat menyumbang kepada pembangunan tempat kelahiran mereka, ini sangat menguntungkan untuk jangka masa panjang,” katanya.  

Beliau menyuarakan hasratnya itu di Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Antu yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu, baru-baru ini.

Katanya, sokongan semua pihak adalah asas untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan pendidikan anak-anak bagi menjamin masa depan yang stabil seterusnya melahirkan lebih ramai golongan profesional dan berkemahiran tinggi pada masa depan.

Pada majlis yang sama, Jugah mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk kegunaan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lubok Antu dan RM20,000 lagi untuk membaik pulih saluran dan pam air sekolah itu yang sudah rosak.

Turut hadir pada Majlis Merarau tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Vivien Mujah, Pengerusi PIBG sekolah Tuai Rumah (TR) Milai, guru besar Jim Andrew Janggi dan guru-guru serta ramai ibu bapa dari sekitar pekan Lubok Antu.

Advertisement