Anda di sini

Vivian tidak guna populariti mendiang bapa untuk raih sokongan

Advertisement
VIVIAN (tiga kiri) bersama Guan Eng (dua kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Umum Sandakan.
VIVIAN (tiga kiri) bersama Guan Eng (dua kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Umum Sandakan.

SANDAKAN: Dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Vivian Wong Shir Yee menggunakan populariti mendiang bapanya untuk meraih sokongan rakyat adalah tidak berasas.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Vivian bukan orang baharu dan bukan seorang yang asing lagi kerana beliau sebelum ini telah banyak membantu mendiang bapanya ketika menjadi menteri.

Katanya, memang tidak dinafikan mendiang Datuk Stephen adalah seorang pemimpin yang ternama dan kini DAP memilih seorang aktivis (Vivian) untuk mendekati rakyat yang secara kebetulan adalah anak perempuan mendiang.

"Oleh itu, sekiranya kita teruskan kesinambungan dan perkhidmatan baik, saya rasa itu adalah pilihan yang tepat. Jika pembangkang mahu kata Vivian menggunakan populariti mendiang bapanya, bukankah mereka menuding jari ke arah diri sendiri?

"Kerana umum mengetahui calon pembangkang adalah bekas calon Parlimen Batu Sapi, yang juga dikatakan menggunakan populariti mendiang suaminya. Jadi saya rasa janganlah ada 'double standard' kerana yang penting adalah mutu perkhidmatan," katanya kepada media selepas Program Walkabout di Pasar Umum Sandakan, pagi tadi.

Dalam walkabout itu, beliau bersama Vivian dan Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon telah meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di pasar umum berkenaan serta kawasan berhampiran.

Menerusi maklumbalas daripada peniaga dan pengunjung, Guan Eng berkata ia adalah satu permulaan yang positif dan berharap sokongan itu akan diterjemahkan rakyat dengan memberi undi yang banyak kepada calon DAP.

Pihaknya sedar pembangkang akan memainkan pelbagai sentimen dan berikutan itu, mereka perlu bekerja lebih kuat untuk menyangkal fitnah yang dilontarkan.

"Lebih-lebih lagi apabila ada kajian yang menunjukkan bahawa sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan terjejas. Sebab itulah kita kena kerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng  yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan yang terbantut di Sandakan berikutan kegagalan kerajaan terdahulu.

Antaranya, projek menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan yang mana Kementerian Kewangan akan menyalurkan RM20 juta pada tahun ini daripada RM80 juta yang telah diluluskan.

Selain itu, beliau berkata peruntukan RM10 juta akan disalurkan sebagai permulaan untuk membaik pulih lif di Hospital Duchess of Kent serta menambah sebuah blok baharu dan menaik taraf blok sedia ada.

"Tentu ada yang tanya kenapa tidak termasuk tempat letak kereta. Tidak mengapa ini kita boleh bincang kemudian. Sekiranya Vivian menang, beliau boleh memohon untuk meluaskan tempat letak kereta di hospital ini.

"Biarlah kita guna peluang ini agar kerajaan Persekutuan dan negeri yang sehaluan boleh terus bekerjasama untuk membawa perubahan yang bermakna dan berbeza daripada kerajaan terdahulu.

"Apa yang penting, kerajaan Persekutuan dan negeri yang baharu adalah kerajaan bersih yang mana kita mahu pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan, rakyat dapat nampak hasil yang sama. Dan, bukannya yang ada ketirisan penyelewangan salah laku atau rasuah," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement