Anda di sini

SPR tetapkan waktu mengundi PRK Sandakan

Advertisement
  Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama Shafie (empat, kiri) dan Lim Guang Eng (empat kanan) berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P198 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua semalam. — Gambar Bernama
UNTUK RAKYAT: Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama Shafie (empat, kiri) dan Lim Guang Eng (empat kanan) berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P198 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Waktu mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan, diawalkan pada jam 7.30 pagi hingga jam 5 petang pada 11 Mei depan.

Timbalan Pengarah SPR Dr Azmi Sharom berkata perubahan itu mengambil kira dan menyesuaikan waktu untuk berbuka puasa bagi para petugas, ejen calon dan pemerhati melancarkan proses pengiraan undi.

“Pengumuman keputusan PRK dijangka akan diumumkan sebelum jam 10 malam,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di sini semalam.

Azmi berkata tempoh berkempen secara rasmi juga bermula sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei depan.

Beliau berkata sebanyak 17 saluran baharu ditambah di pusat mengundi yang mempunyai ramai pengundi, menjadikan kesemuanya 92 saluran.

“Bagi pengundi yang berumur 60 tahun ke atas akan diwujudkan dua saluran. Manakala pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) di saluran satu,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya SPR telah menyediakan Surat Aku Janji ditandatangani oleh calon yang mengandungi 10 Janji mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula selepas pengisytiharan nama calon-calon pada hari ini (semalam) sehingga 11.59 malam pada 10 Mei.

Beliau berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakannya di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, Tingkat 7 Bangunan Persekutuan Sandakan dan akan beroperasi selama 24 jam.

Pegawai-pegawai SPRM juga akan membuat pemantauan di lapangan, katanya.

Azmi berkata bagi PRK ini, SPR telah melantik 57 pemerhati pilihan raya daripada 10 organisasi  membabitkan agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta dua individu yang berkelayakan untuk memantau penjalanan proses pilihan raya ini.

Beliau mengingatkan setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PDRM berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit. — Bernama

Advertisement