Anda di sini

Regata Lepa Semporna bakal dibuat pada skala lebih besar

Advertisement
 Dua gadis dari suku kaum Bajau Semporna yang menyertai pertandingan Ratu Lepa Semporna melakukan tarian Igal-Igal sempena Majlis Sangom Maglami-Lamidan Pertandingan Pemilihan Ratu Lepa di Dataran Regatta Lepa malam semalam. — Gambar Bernama
TRADISIONAL: Dua gadis dari suku kaum Bajau Semporna yang menyertai pertandingan Ratu Lepa Semporna melakukan tarian Igal-Igal sempena Majlis Sangom Maglami-Lamidan Pertandingan Pemilihan Ratu Lepa di Dataran Regatta Lepa malam semalam. — Gambar Bernama

SEMPORNA: Pesta air Regata Lepa di Semporna akan dilaksana dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata perkara itu termasuk penyertaan khususnya daripada suku kaum Bajau Sama daripada daerah lain seperti Kota Belud, Kudat dan Sandakan.

“Kita akan libatkan mereka semua kerana perayaan ini bukan (untuk) Semporna sahaja tetapi perayaan pesta air Regatta Lepa Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana pesta itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perarakan masuk lepa atau perahu cantik dan berhias sempena Regata Lepa Semporna Jubli Perak di Dataran Lepa Marin di sini, semalam.

Terdahulu, Jaujan bersama tetamu kehormat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni menyaksikan lebih 700 lepa berarak masuk ke dataran lepa selain pertunjukan demonstrasi menyelamat di laut oleh pasukan keselamatan serta pertandingan sukan air rakyat.

Jaujan berkata ketika ini pelaksanaan dan penyertaan lepa cantik dan berhias terhad berikutan lokasi dataran lepa yang sempit.

“(Tetapi) kita tidak tahu mungkin ada satu dataran lebih luas (dibuat) agar penyertaan itu tidak terhad selepas ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pesta air kali ini mencatat penyertaan lepa terbanyak dengan lebih 700 lepa terdiri daripada sembilan lepa cantik termasuk kumpit dan lepa kecil.

Beliau berkata meskipun keadaan hujan dan redup, ia tidak menghalang perarakan lepa serta kemeriahan Regata Lepa. — Bernama

Advertisement