Anda di sini

Penduduk hargai projek RTP di Kuala Tatau

Advertisement
 Talib (dua kanan) mendengar penerangan daripada Lau Pit Hwa (kiri) mengenai projek yang telah dilaksanakan di Kuala Tatau.
BINCANG: Talib (dua kanan) mendengar penerangan daripada Lau Pit Hwa (kiri) mengenai projek yang telah dilaksanakan di Kuala Tatau.
 Projek jalan raya berturap dinaik taraf di Kampung Hilir dan Kampung Hj Ismail.
KEMUDAHAN: Projek jalan raya berturap dinaik taraf di Kampung Hilir dan Kampung Hj Ismail.
 Pemandangan Jambatan Kuala Tatau (kanan) dan perkampungan di Kuala Tatau.
INDAH: Pemandangan Jambatan Kuala Tatau (kanan) dan perkampungan di Kuala Tatau.
 Jalan simen di perkampungan memudahkan pergerakan penduduk.
SELESA: Jalan simen di perkampungan memudahkan pergerakan penduduk.

EMPAT Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah kerajaan Sarawak yang dilaksanakan pada tahun lepas untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak membabitkan kawasan penempatan di Kuala Tatau telah siap dan diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tatau pada 15 Mac lalu.

Majlis penyerahan projek itu turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Empat projek itu ialah naik taraf jalan di Kampung Hilir Kuala Tatau, bina baharu laluan pejalan kaki di Kampung Haji Ismail dan Kampung Hilir Kuala Tatau, naik taraf jalan Kampung Haji Ismail Kuala Tatau serta bina baharu laluan pejalan kaki di Kampung Seberang dan Kampung Seberang Jaya Kuala Tatau.

Majlis penyerahan projek itu turut dihadiri oleh Jurutera JKR Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Dennis Bunyam, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Samri Suhaili, Penghulu Rahim Shadan, ketua-ketua masyarakat dan penduduk kampung terbabit.

Dengan penyerahan dan penyediaan projek kemudahan itu, ia akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di kampung-kampung di Kuala Tatau tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Kaum Kampung Hilir Kuala Tatau Kushirie Aben, 43, bantuan yang disalurkan oleh Talib yang membabitkan pembinaan jalan dari rumah ke rumah, jalan simen, titi kayu, atap-atap rumah, baik pulih dewan serba guna dan bantuan kewangan untuk penganjuran aktiviti belia, komuniti kampung serta bantuan kepada masjid dan surau amat disyukuri oleh penduduk kampung.

“Baik pulih bangunan dewan serba guna antaranya yang berkos RM40,000, jalan simen dan titian dianggarkan berkos RM100,000 termasuk baik pulih rumah, atap dan dinding rumah rosak penduduk kampung semuanya adalah pembangunan bermanfaat untuk kampung kami,” katanya yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Hilir Kuala Tatau.

Kushirie berkata, masih ada kemudahan yang kurang dan ada antara yang belum siap sepenuhnya dibina membabitkan titi dan jalan simen di kampung tersebut tetapi pembangunannya difahamkan akan dilaksana peringkat demi peringkat.

“Kami bersyukur YB Datuk (Talib) mengetahui permasalahan di kampung kami dan bertindak segera menyalurkan bantuan melalui pelaksanaan projek-projek ini. Kami senang berurusan dengan YB Datuk terutamanya berkaitan hal ehwal Kelab Anak Menanga serta lain-lain termasuk amat menghargai sokongan beliau terhadap program belia di kampung kami,” tambahnya.

Beliau berkata, apa juga program dan aktiviti kampung yang mereka adakan misalnya majlis rumah terbuka Hari Raya, Talib tidak keberatan memenuhi undangan untuk memeriahkan aktiviti kampung.

“Harapan kami YB akan terus menjadi menteri memandangkan kami sebagai penduduk kampung di sini amat senang untuk berurusan dengannya bahkan keperluan dan kebajikan penduduk kampung juga diberi keutamaan oleh YB,” katanya.

Mengenai dewan yang dibaik pulih di Kampung Hilir katanya, ia bermula pada tahun 2017 dan siap pada awal tahun 2018, begitu juga pembinaan baharu tiga jambatan kayu dan titian belian.

Manakala padang kampung yang baharu pula katanya, ia diserahkan kepada pihak sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau dan pengggunaannya dikongsi bersama antara pelajar sekolah dengan penduduk kampung.

Selain itu katanya, surau turut dibaik pulih serta menerima bantuan kelengkapan dan peralatan daripada Talib yang mana ini akan memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadah.

Seorang penduduk dengan nada sama turut menghargai segala sumbangan yang disalurkan oleh Talib kepada penduduk di Kuala Tatau.

Penolong Kanan Kokurikulum SK Kuala Tatau Abdul Halil Sehim, 38, melihat bantuan dan sumbangan dalam bentuk kewangan yang disalurkan oleh Talib khusus untuk sekolah ternyata amat bermanfaat serta telah digunakan sebaiknya untuk membaik pulih infrastruktur sekolah.

“Pejabat tadbir, bilik guru besar dan penolong kanan sekolah dan kelas antara yang telah dibalik pulih dengan bantuan kewangan selain sokongan

kepada segala aktiviti ramah-tamah perayaan, sukan dan riadah yang dianjurkan di sekolah.

“Tidak hanya membaik pulih infrastrukturnya, bahkan bangunan sekolah juga ada dibaik pulih,” katanya sambil menambah SK Kuala Tatau memerlukan bumbung di tempat perhimpunan pelajar selain dicadangkan pembinaan gelanggang sepak takraw.

“Kami turut bersyukur memandangkan bangunan baharu telah siap dibina di SK Kuala Tatau melalui Sistem Binaan Berindustri (IBS) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun bantuan daripada YB juga diperlukan untuk membangun dan meningkatkan pencapaian sekolah,” ujarnya.

Sementara itu Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuala Tatau Jabir Kipli, 39, berkata, pembangunan di kampung yang disalurkan oleh Talib amat dihargai penduduk, walaupun ada sesetengah projek belum siap dilaksanakan sepenuhnya.

“Harapan saya tidak hanya sekolah bahkan kampung kami akan terus maju serta membangun melalui bantuan projek yang disalurkan. Saya berterima kasih kepada YB kerana banyak menyumbang serta membantu kampung kami,” katanya.

Jabir yang baharu memegang jawatan yang disandang turut memperkatakan mengenai rancangan PIBG untuk memperlengkapkan kemudahan pelajar di SK Kuala Tatau.

“Kami (PIBG) telah berbincang dengan pihak sekolah mengenainya dan antara yang dicadang untuk diwujudkan ialah tempat berwuduk untuk pelajar Islam di sekolah itu,” katanya.

Selain itu katanya, mereka turut bercadang membina bumbung pejalan kaki ke bangunan baharu namun PIBG belum ada dana untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Ketua Kaum Kampung Hj Ismail Kuala Tatau Haliza Mudin, 50, berkata, beliau telah enam tahun memegang jawatan ketua kampung dan dalam tempoh itu banyak bantuan atau projek-projek telah diterima daripada Talib.

“Keadaan kampung dahulu tidak sama dengan sekarang yang mana bantuan daripada datuk telah membuka minda penduduk untuk berusaha membangunkan Kuala Tatau dari segi  ekonominya,” ujarnya.

Justeru katanya, mereka amat berterima kasih kepada Talib atas bantuan yang diberikan kepada seluruh penduduk kampung terutamanya dana yang disalurkan

kepada JKKK, bantuan projek kecil luar bandar (MRP) membabitkan pembinaan jalan-jalan masuk kampung dan sebagainya.

“Projek itu antara lain adalah pembinaan jalan dari rumah ke rumah berkos RM350,000 yang mana dahulunya laluan itu kerap kali dinaiki air ketika musim banjir. Saya berharap projek itu dapat dinikmati dan memberi keselesaan kepada semua penduduk,” tambahnya.

Jelasnya, kesemua kemudahan yang diberikan amat dihargai namun belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan antaranya penambahan lampu jalan yang mengguna tenaga solar, jalan raya kampung termasuk laluan ke masjid yang perlu diperbesarkan dan cadangan agar jalan lama Sesco di Kampung Hj Ismail dibaik pulih memandangkan jalan tersebut turut diguna oleh penduduk kampung.

Beliau turut berharap kemudahan jalan titi dan konkrit di 21 kawasan di kampung itu dapat dilaksana segera pembinaannya selain mempercepat pembinaan dewan serba guna pada tahun ini memandangkan tapak tanah telah ada sekali gus akan memberi kemudahan berguna kepada sekolah berdekatan dan penduduk kampung.

KEMUDAHAN LAIN

“Keperluan membina pasar minggu di tapak yang sesuai untuk usahawan kecil kampung berniaga juga dicadangkan memandangkan sekitar 20 pengusaha masih tercari-cari tapak untuk menjual produk mereka.

“Mereka terdiri daripada pengusaha belacan, ikan salai, kuih-muih dan sebagainya namun mereka tidak tahu cara untuk menjual hasil produk di tempat yang bersesuaian dan strategik,” jelasnya.

Kemudahan yang ada katanya, terdapat di Kampung Seberang Kuala Tatau yang jauh untuk usahawan kecil di Kampung Hj Ismail mengangkut barangan produk mereka ke pusat tersebut.

“Difahamkan ada tanah di sebelah jeti JKR antara blok pasar di kampung kami yang telah disukat oleh pihak berkuasa sama ada untuk pembinaan pasar minggu atau projek lain namun sehingga kini belum pasti akan perkembangannya,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan keperluan naik taraf padang futsal berbumbung yang ada lampu limpah, pembinaan gelanggang petanque di kawasan sekolah untuk mencungkil bakat penduduk berpotensi, kemudahan pejabat pos, stesen minyak dan mesin juruwang automatik (ATM).

“Pejabat pos kecil ini atau PO Box perlu untuk penduduk Kuala Tatau memandangkan surat penting tidak sampai ke Kuala Tatau sebaliknya berada di daerah Tatau yang jaraknya 45 minit melalui jalan darat sehingga ada kalangan penduduk yang menerima surat temu duga kerja terlepas tarikh kerana surat tidak sampai kepada mereka, bahkan ada yang memakan masa tiga bulan sebelum surat penduduk sampai ke Kuala Tatau,” katanya.

Katanya, jeti nelayan juga memerlukan lampu untuk kemudahan nelayan pada waktu malam serta memudahkan mereka menambat bot.

Bagaimanapun katanya, semua bantuan yang disalurkan oleh Talib setiap tahun seperti baik pulih rumah penduduk, pembinaan jalan dan titi dari rumah penduduk sangat membantu serta memberikan keselesaan, namun beberapa kemudahan lain masih diperlukan sebagai penambahan untuk memperlengkapkan kemudahan sedia ada.

  • oleh
  • Advertisement