Anda di sini

Pekerja kapal maut disyaki terhidu gas

Advertisement
RUANG di dalam peti simpanan ikan di mana mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.
RUANG di dalam peti simpanan ikan di mana mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki pekerja kapal menangkap ikan maut disyaki terhidu gas semasa melakukan kerja memunggah tong ikan.

Mangsa yang dikenali sebagai Hasrul La Ridi, 42, yang juga warga Indonesia ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 9.30 pagi di Jeti Lubuk Poring Sepanggar Manggatal dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sempat membantu mengeluarkan rakannya yang pengsan dari dalam peti simpanan baja ikan.

Menurutnya, mangsa yang kemudiannya tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari peti simpanan ikan terbabit oleh rakan sekerja lain.

"Pasukan paramedik dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Dua lagi rakan mangsa yang pengsan dikenali sebagai La Eni, 31, dan La Ace, 36, masing-masing warga Indonesia dibawa ke HWKK untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan bomba di lokasi peti simpanan ikan berkenaan belum menemukan sebarang kewujudan gas beracun amonia, hidrogen dan sulfite.

Habibi berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk siasatan lanjut.

Selain itu jelasnya, pemeriksaan pada mangsa turut tidak menemukan sebarang objek serta unsur-unsur perbuatan jenayah atau khianat.


 

  • oleh
  • Advertisement