Anda di sini

Ibu bapa perlu pantau aktiviti anak

Advertisement
SALSAGAP menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan yang diadakan.
SALSAGAP menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan yang diadakan.

LAHAD DATU: Ibu bapa perlu sentiasa peka terhadap setiap gerak-geri anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala sosial yang boleh meruntuhkan masa depan agama, nusa dan bangsa.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mengetahui dan memantau aktiviti anak-anak kerana merekalah generasi pelapis akan datang yang akan memastikan pembangunan negara seterusnya menjadi pemimpin agama, nusa dan bangsa.

Menurutnya, kesedaran untuk meningkatkan nilai-nilai murni dalam diri, keluarga dan masyarakat akan dapat menghindari penyakit masalah sosial.

Katanya, kesedaran untuk memupuk nilai-nilai murni bermula dari rumah seterusnya dalam kalangan masyarakat dan ia perlu dijayakan bersama khususnya melalui amalan ajaran Islam.

"Hari ini, sering kali kita melihat penyakit sosial yang melanda negara kita semakin membimbangkan. Penekanan dalam membanteras isu ini dilihat berpunca daripada kemiskinan.

"Kemiskinan yang saya maksudkan bukanlah dari sudut wang ringgit tetapi miskin rohani adalah penyumbang terbesar kepada masalah yang mengaitkan sosial masyarakat hari ini," katanya dalam teks ucapan perasmian Majlis Seminar Penerapan Nilai-nilai Murni anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Peringkat Zon Pantai Timur di Dewan Sri Perdana pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Lahad Datu Salsagap Pg Masdal.

Dumi yang juga Adun Lahad Datu berkata kemiskinan rohani perlu perhatian serius untuk dirawati kerana ia boleh mengakibatkan keruntuhan akhlak generasi akan datang khususnya dalam kalangan belia remaja.

Beliau menyeru agar penganjuran program-program keagamaan mendapat sambutan kerana majlis seumpamanya akan memberi pemahaman dan penghayatan terhadap isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran kepada pembaca mahupun pendengar.

Menurutnya, al-Quran dapat menghidupkan semula peranan rohani dalam menggerakkan komuniti di setiap lapangan di samping mengingatkan mengenai kehidupan dan kematian.

Katanya, mengunjungi majlis ilmu atau pun memakmurkan masjid antara tuntutan yang diabaikan kerana kesibukan dunia.

"Solat berjemaah, bertadarus dan juga pelbagai aktiviti sosial serta kebajikan adalah komitmen dan tuntutan sebenar yang membentuk kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

"Ia akan dapat menyemarakkan minat membaca al-Quran seterusnya memupuk nilai-nilai cara hidup Islam yang mendalam dalam kalangan anak-anak," katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari itu diisi dengan pertandingan hafazan, tilawah al-Quran, pidato dan nasyid yang disetai kontinjen Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Sabah (Perkips) Cawangan Lahad Datu, Kunak, Tawau, Kinabatangan dan Beluran.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Kawasan Lahad Datu Dr Amirul Hisham Zainol, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Masyitah Mohd Amin dan wakil Pengarah Hospital Lahad Datu Dr Ainur Iznita.
 

  • oleh
  • Advertisement