Anda di sini

Program ‘Limbang Quest 2019’ ke Long Rayeh berjaya di sebalik cabaran getir

Advertisement
 Jonidi (duduk tiga kiri) bergambar bersama Kelab Kubu 4x4 dan Adventure, Pacuan Empat Roda Lawas dan Pasukan TTK 4x4 Brunei.
MISI KEBAJIKAN: Jonidi (duduk tiga kiri) bergambar bersama Kelab Kubu 4x4 dan Adventure, Pacuan Empat Roda Lawas dan Pasukan TTK 4x4 Brunei.

MENGHARUNGI jalan yang licin, berlumpur, kenderaan dan enjin mengalami kerosakan, tayar bocor terkena besi cerucuk antara cabaran getir yang dihadapi Kelab Kubu 4x4 dan Adventure, Pacuan Empat Roda Lawas dan Pasukan TTK 4x4 Brunei pada misi kebajikan Program ‘Limbang Quest 2019’ ke Long Rayeh, baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Kubu 4x4 dan Adventure yang juga penganjur program Jonidi (George) Yamat berkata, berkat semangat dan pengalaman semua cabaran getir itu berjaya diatasi rombongan pada program yang berlangsung selama tiga hari itu.

Jonidi berkata, walaupun berdepan rintangan mencabar akibat permukaan dan bentuk geografi semula jadi ke Long Rayeh mereka tetap gembira kerana dapat menguasai kemahiran mengendalikan kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, Program Limbang Quest 2019 disertai tiga buah kelab iaitu Kubu 4x4 Adventure, Pacuan Empat Roda Lawas dan sebuah pasukan dari negara jiran Brunei iaitu Pasukan TTK 4x4 Brunei membabitkan sembilan buah kereta.

Kata beliau, rombongan terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Bisaya, Lun Bawang, Cina, Melayu, Kadazan dan Dusun Brunei.

“Misi kita adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli 4x4 Limbang, Lawas dan Brunei.

“Pada masa sama kita ingin menerapkan budaya murni dengan bersedekah, memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama masyarakat Penan di Hulu Limbang,” katanya kepada media kelmarin.

Jonidi menambah, pengalaman manis ini akan memupuk semangat cintakan alam flora dan fauna di samping menikmati hutan tropika dan keindahan alam.

Perjalanan bermula ke Lawas, bermalam dan berkhemah di Sungai Stalun Long Adang, meneruskan perjalanan ke Long Sebayang dan Long Rayeh di Hulu Limbang, bertemu dengan ketua kampung Long Rayeh Peter dan seterusnya menyerahkan bantuan makanan serta pakaian untuk kegunaan harian penduduk Long Rayeh.

Selepas misi kebajikan dilaksanakan, rombongan meneruskan perjalanan pulang ke Limbang dan Brunei melalui Temburong Brunei, Lawas, Long Adang, Long Sebayang dan Long Rayeh.

“Selepas program ini, kita akan memperluaskan program ke kawasan masyarakat lain di kawasan masyarakat Iban, Kelabit, Lun Bawang dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang yang memberikan sokongan dan peruntukan selain penaja lain iaitu Syarikat Yamat, Forever Light Auto Trading, Daya Lestari Enterprise, Golden J&J Resources, Bellcon Enterprise dan Peruan Enterprise.

Turut sama pada rombongan itu ialah wakil Lawas FWD Samuel Ganang dan wakil TTK 4x4 Brunei Michael.

Advertisement