Anda di sini

Peserta ratu cantik beranikan diri makan ulat mulong

Advertisement
 Peserta diminta mencuba ulat mulong yang masih hidup yang disajikan kepada mereka kelmarin.
CABAR DIRI: Peserta diminta mencuba ulat mulong yang masih hidup yang disajikan kepada mereka kelmarin.

PESERTA pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia kelmarin  memberanikan diri menjamu ulat sagu ketika lawatan di Pusat Khazanah Miri.

Ia menjadi pengalaman baharu untuk beberapa peserta yang belum pernah menikmati ulat tersebut dalam keadaan masih hidup ataupun telah dimasak.

Lebih dikenali sebagai ulat mulong, makanan tradisi kaum Melanau itu antara menu tempatan diperkenalkan kepada mereka oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Turut dihidang ialah ‘ketupek seei’ (tumpik lemantak), bubur pedas dan mi kolok.

Selain menikmati juadah enak, mereka juga berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan juadah rakyat negeri ini.

Kehadiran 24 peserta disambut Kaunselor Karambir Singh yang mewakili Datuk Bandar Adam Yii bersama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan MBM.

Peserta juga terlibat dalam aktiviti melukis batik yang dikendalikan bersama Persatuan Pelukis dan Seni Visual Miri (PPSVM).

Peluang juga digunakan oleh peserta menambah pengetahuan mereka kebudayaan rakyat pelbagai kaum negeri ini.

Karambir berkata, penganjuran pertandingan itu di Miri turut membantu mempromosikan Miri sebagai bandar raya peranginan dan destinasi pelancongan utama di Utara Sarawak.

“Aktiviti ini peluang kepada kita mempromosikan pusat ini yang baru siap dinaik taraf kepada pengunjung luar Miri,” jelasnya.

Peserta juga dibawa mengunjungi Galeri Seni yang baharu beroperasi di pusat itu yang terletak di pusat bandar raya.

Rombongan tersebut diiringi Pengarah Miss Grand Malaysia Jude Benjamin dan Pengurus Produksi Brandan Yeo.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kaunselor Warziedea Ahmad.

Aktiviti mereka di Miri bermula 21 April lalu dan mereka akan dibawa melawat Taman Negara Niah, pantai Tusan, Piasau Nature Reserve dan Taman Buaya Miri.

Final pertandingan ini akan diadakan pada Ahad ini di Hotel Meritz.

Juara akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa di Venezuela pada Oktober.

  • oleh
  • Advertisement