Anda di sini

Pekebun dipenjara dua bulan hina Agong di Facebook

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, di laman sosial Facebooknya.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd Sarif, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Sharil yang didakwa kali pertama pada 22 Mac lepas pada mulanya mengaku tidak bersalah tetapi telah menukar pengakuannya kepada bersalah pada 8 April lalu dan rayuannya juga didengar pada hari sama (8 April).

Semalam ditetapkan bagi mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga lima tahun itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 15 Mac lepas.

Dalam penghakimannya, Edwin berkata serangan yang menyinggung sistem perlembagaan beraja negara perlu diberi perhatian yang serius terutama di negara ini yang menyaksikan semua rakyat mempunyai perasaan hormat yang mendalam terhadap sistem beraja.

“Kes sebegini kerap membangkitkan persoalan antara hak kebebasan bersuara dan soal kepentingan kerajaan dalam melindungi ketenteraman awam dan mengukuhkan perpaduan.

“Perkembangan teknologi bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai telefon pintar berpotensi sebagai pengkritik yang boleh menyebarkan pendapat mereka di media sosial dengan serta-merta namun perkara ini telah menyebabkan mereka meluahkan pendapat tanpa tapisan dan perasaan melampau dinyatakan dalam cara yang kasar.

“Walaupun saya bersetuju dengan timbalan pendakwa raya bahawa hukuman tegas akan mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan dan akan memberi amaran kepada pesalah, saya juga bersetuju bahawa hukuman yang dijatuhi hendaklah mempunyai faktor pemulihan ke atas mereka,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook ‘Sharil Chain’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 11.30 pagi, 13 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala Sharil diwakili peguam M. Dinesh. — Bernama

Advertisement