Anda di sini

Lebih 700 lepa sertai Pesta Regatta Lepa 2019

Advertisement
JUHAR (tiga kiri), Norlidah (empat kiri), Jaujan (dua kiri) dan isteri Datin Hajah Rohaya Mansor (tiga kanan), Shuryani (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.
JUHAR (tiga kiri), Norlidah (empat kiri), Jaujan (dua kiri) dan isteri Datin Hajah Rohaya Mansor (tiga kanan), Shuryani (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.

SEMPORNA: Lebih 700 lepa telah menyertai Pesta Regatta Lepa 2019 sekali gus menjadikan penyertaan itu yang terbanyak sekali dalam sejarah penganjurannya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, penyertaan itu menunjukkan sambutan diadakan amat meriah dan menjangkakan penganjuran acara yang sama pada masa hadapan akan lebih mantap.

"Tidak dinafikan dataran yang kita ada kini kecil dan mungkin pada masa hadapan ia mampu dibuat di satu dataran yang lebih luas.

"Keluasan itu perlu bagi membolehkan lebih ramai penyertaan dari suku kaum Bajau di seluruh negeri sekali gus menjadikan penyertaannya tidak terhad," katanya ketika ditemui pada majlis Regatta Lepa Semporna Jubli Perak 2019 Pertandingan Sukan Laut, Perarakan Lepa Cantik dan Lepa Tradisi, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, walaupun hujan turun pada sebelah pagi, ia tidak menghalang para orang ramai hadir ke Dataran Lepa bagi menyaksikan acara yang diadakan.

Katanya, siri persembahan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan juga menunjukkan betapa cemerlangnya badan beruniform itu dalam usaha menjaga keselamatan serta kedaulatan sempadan negara, khususnya di Sabah.

"Walaupun orang luar mengatakan kita tidak selamat tetapi kita boleh melihat sendiri pasukan keselamatan negara sentiasa melakukan yang terbaik demi menjaga keselamatan Malaysia.

"Saya berharap rakyat yakin dengan pihak keselamatan negara kerana mereka turut dibekalkan peralatan canggih untuk menjaga keselamatan," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting sebagai pemberi maklumat kepada pihak keselamatan dalam usaha bersama-sama menjaga keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada masyarakat termasuk pelancong yang ramai hadir sepanjang pesta itu diadakan.

"Saya gemibira sambutan kali ini cukup baik, saya juga ucapkan terima kasih kepada jawatankuasa yang menjayakan program ini.

"Pesta ini bukan hanya untuk masyarakat Semporna sebaliknya buat semua bangsa yang ada di Sabah," katanya.

Katanya, dalam usaha menyatukan bangsa dalam negeri ini, pesta seumpamanya adalah platform terbaik bagi menjayakan usaha itu.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement