Anda di sini

Festival Regatta Lepa perlu dipelihara

Advertisement
JUHAR (tiga kiri), Norlidah (empat kiri), Shafie (dua kiri), Jaujan (dua kanan) dan Christina (kanan) bersama tetamu kehormat lain ketika menyaksikan persembahan.
JUHAR (tiga kiri), Norlidah (empat kiri), Shafie (dua kiri), Jaujan (dua kanan) dan Christina (kanan) bersama tetamu kehormat lain ketika menyaksikan persembahan.

SEMPORNA: Festival Regatta Lepa adalah sambutan kebudayaan etnik Bajau yang perlu terus dipelihara bagi memastikan khazanah itu dapat dipertontonkan seterusnya didokumentasikan bagi manfaat generasi akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sambutan acara tradisi 'lepa' atau 'perahu tradisi' yang dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah harus diteruskan agar kekayaan budaya itu terus dipelihara.

''Pesta seumpamanya mampu menyumbang kepada pengukuhan budaya serta peningkatan semangat keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang terdapat di Sabah.

"Pesta ini turut memberi limpahan dan impak besar kepada usaha memajukan serta mempromosikan daerah ini yang cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan di dalam dan luar negara," katanya ketika merasmikan Majlis Sangom Maglami-Lami dan Pertandingan Pemilihan Ratu Lepa 2019, di sini, malam Jumaat.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan kerjasama Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan terus memelihara kepelbagaian budaya etnik yang ada di Sabah ini seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

''Bagi menguatkan, memelihara dan memperkasa keutuhan perpaduan dalam kalangan 89 etnik kaum di negara ini, kerajaan turut mengiktiraf budaya etnik yang dimiliki secara turun temurun, sama ada dalam bentuk tarian, sukan tradisi mahukan peralatan yang digunakan.

''Selain itu, pesta yang mempunyai keunikan tersendiri ini juga menjadi salah satu pakej produk dalam industri pelancongan negeri,'' katanya.

Dalam pada itu, Shafie juga melahirkan penghargaan terhadap Jawatankuasa Induk Regatta Lepa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Regatta Lepa 2019.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew, Menteri Pembangunan Insfrastruktur Datuk Peter Anthony serta barisan Kabinet Negeri dan tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement