Anda di sini

Calon DAP terima sokongan lima perti kerajaan

Advertisement
SHAFIE bersama Kit Siang, Guan Eng dan para pemimpin parti kerajaan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan padu.
SHAFIE bersama Kit Siang, Guan Eng dan para pemimpin parti kerajaan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan padu.

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal memberitahu calon DAP, Vivian Wong yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan mendapat sokongan padu daripada lima parti kerajaan.

Beliau berkata DAP mendapat sokongan padu daripada Warisan, Upko, PKR, Amanah dan PPBM bagi memastikan kemenangan Vivian yang bertanding atas tiket DAP.

“Saya yakin lima parti kerajaan ini telah menyatakan sokongan padu terhadap calon DAP yang merupakan seorang tokoh muda serta mempunyai pengalaman dan telah bekerja bersama mendiang ayahnya (Stephen Wong) mendampingi rakyat Sandakan,” katanya.

Shafie menolak dakwaan yang kononnya DAP tidak mendapat sokongan daripada parti-parti kerajaan untuk bertanding dalam PRK Parlimen Sandakan.

“Walaupun ada pihak yang menyatakan mereka (pembangkang) mendapat sokongan daripada lima parti tetapi mereka lupa DAP juga disokong padu oleh lima parti kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata rakyat serta pengundi Sandakan memang bijak dan pandai untuk memilih calon yang akan mewakili mereka, dan "kita yakin Vivian Wong akan disokong serta diberi kemenangan oleh rakyat Sandakan."
 
Dalam pada itu, Shafie berkata rakyat Sandakan tahu calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada PRK Sandakan kali ini terdiri daripada tiga Calon Bebas dan satu lagi dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Rakyat kenal mereka ini, mereka (PBS) sudah perintah Sabah 10 tahun sebagai sebuah kerajaan. Mereka juga pernah perintah di bawah naungan Barisan Nasional (BN) selama 13 tahun.
"Mereka gagal dalam 10 tahun dan begitu juga dalam BN, kita boleh lihat bagaimana keadaan dia,” katanya selepas penamaan calon di luar Dewan Penamaan Calon SM Tiong Hua Sandakan, tengahari Sabtu.

Katanya parti kerajaan kali ini menawarkan calon dari DAP yang merupakan seorang anak muda berkelulusan dan boleh berdamping dengan rakyat seperti yang pernah dilakukannya ketika bersama mendiang ayahnya dan "seorang anak yang saya tahu cukup sayang dengan bapa dia yang telah banyak memberi sumbangan di kawasan Sandakan."
 
“Apa yang penting, kita menyelesaikan masalah rakyat dan kita harus memberi sokongan serta kerjasama kepada DAP. Kerajaan Negeri Sabah perlu bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk merealisasikan apa juga kehendak rakyat Malaysia yang berada di peringkat negeri Sabah.

“Maka, kita dapat melihat wadah baharu, orang baharu, orang muda, bertenaga dan berpelajaran. Bila saya nampak dia berucap, ia adalah jauh daripada kematangan orang lama dari segi berucap. Bila diumumkan sebagai calon, jika saya pengundi, saya akan undi beliau (Vivian),” katanya.

Beliau menaruh keyakinan rakyat Sandakan memang mempunyai pengalaman dalam perjuangan waktu dahulu sejak tahun 1978 di mana kerusi Parlimen Sandakan telah diwakili oleh DAP.

“Kita yakin pengundi meletakkan harapan. Bukan 10 tahun, bukan 13 tahun macam PBS, ini baru sahaja sembilan bulan. Beri kita peluang, kita ada calon baharu, orang baharu, semangat yang baharu, mempunyai pengalaman, idea yang baharu, orang-orang muda... inilah wakil yang kita paparkan untuk mewakili kerajaan di peringkat negeri Sabah,” katanya.

Shafie mengingatkan kepada semua jentera parti kerajaan agar jangan terlalu selesa, jangan alpa dan yang penting semua tentukan kemenangan Vivian.

Turut hadir, veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta para pemimpin DAP, Warisan, Upko, PKR, Amanah dan PPBM.

  • oleh
  • Advertisement