Anda di sini

Suspek kes tipu kerja di Kemboja dicekup sekembali melancong

Advertisement
 Suspek diberkas polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
TAHAN: Suspek diberkas polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

KUCHING: Suspek keenam bagi membantu siasatan kes penipuan pekerjaan di Kemboja semalam merupakan yang terakhir dikehendaki polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu diberkas anggotanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Suspek diberkas pada jam 12.20 tengah hari selepas pesawat dinaikinya dari Pontianak, Indonesia mendarat pada jam 11.45 pagi, katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, suspek dari Kampung Salak itu baru balik dari melancong di Turki, Jakarta dan Pontianak.

Suspek akan direman dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pendakwaan.

Beliau berkata, empat suspek lain yang ditahan sebelum ini bebas atas jaminan polis.

“Keputusan mereka (untuk didakwa di mahkamah atau sebaliknya) akan diketahui selepas siasatan terhadap tangkapan terbaharu ini selesai,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas lanjut.

Mustafa berkata, antara enam yang dikehendaki polis, Chang Ying Shiong, 24, telah didakwa di mahkamah pada 13 Mac lalu.

Chang juga merupakan antara 47 rakyat Malaysia yang menjadi ‘mangsa’ kes.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika didakwa menggunakan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tertuduh yang dibenarkan ikat jamin, diperintah hadir semula ke mahkamah pada 24 hingga 28 Jun depan untuk perbicaraan.

Kes penipuan pekerjaan itu mengakibatkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Penjara Banteay Meanchey pada 11 Disember lepas kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Seramai 40 merupakan anak Sarawak, manakala bakinya dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Mereka dibebaskan menerusi rundingan antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.

Kesemua mangsa dibawa balik ke Malaysia pada 17 Februari lalu, selepas ditahan 65 hari di penjara.

Advertisement