Anda di sini

Ribuan tentera Sri Lanka dikerah bantu polis buru suspek pengeboman maut

Advertisement
 Gambar diambil daripada rakaman CCTV dikeluarkan kelmarin menunjukkan seorang lelaki membawa beg galas di restoran Hotel Shangri La di Colombo, Sri Lanka pada Ahad lepas. — Gambar Reuters
PETUNJUK PENTING: Gambar diambil daripada rakaman CCTV dikeluarkan kelmarin menunjukkan seorang lelaki membawa beg galas di restoran Hotel Shangri La di Colombo, Sri Lanka pada Ahad lepas. — Gambar Reuters

COLOMBO: Sri Lanka mengerahkan ribuan anggota tentera kelmarin untuk membantu polis mencari suspek dalam serangan bom nekad Hari Easter yang diakui dilakukan oleh kumpulan militan Daesh yang membunuh hampir 360 orang.

Kerajaan mengakui kecuai-an “besar” berhubungan kegagalannya untuk mencegah serangan dahsyat tersebut walaupun menerima amaran perisikan khusus.

Tuduh-menuduh telah berlaku sejak pengebom nekad meletupkan diri di hotel mewah dan gereja yang sesak dengan jemaat yang meraikan Hari Easter pada Ahad lepas.

Presiden negara itu telah meminta ketua polis dan birokrat tertinggi dalam kementerian pertahanan untuk berundur, tetapi kedua-duanya belum lagi berbuat demikian.

Kelmarin, pasukan kese-lamatan yang menggunakan kuasa yang baharu diberikan di bawah keadaan darurat negara menangkap 16 suspek lain berhubung serangan itu.

Polis setakat ini sudah menangkap 75 orang tetapi ke-tegangan masih tinggi selepas beberapa suspek tidak dapat dikesan.

Brigadier Sumith Atapattu berkata, tentera darat sudah meningkatkan anggota yang dikerah sebanyak 1,300 kepada 6,300 kelmarin, manakala tentera laut dan tentera udara juga mengerahkan 2,000 kakitangan tambahan.

Pihak berkuasa turut meng-umumkan larangan ke atas penerbangan dron dan menggantung lesen yang dikeluarkan kepada pengusaha komersil berkuatkuasa serta-merta.

Kerajaan bersikap defensif berhubung pendedahan bahawa amaran khusus tentang serangan tidak diendahkan.

Ketua polis Sri Lanka memberi amaran pada 1 April lalu bahawa serangan bom nekad ke atas “gereja terkemuka” oleh kumpulan pelampau Islam tempatan National Thowheeth Jama’ath (NTJ) boleh berlaku, sambil memetik maklumat daripada sebuah agensi perisikan asing.

CNN melaporkan badan perisikan India telah me-nyampaikan maklumat “yang luar biasa khusus” beberapa minggu sebelum serangan itu berlaku, sebahagiannya daripada seorang suspek Daesh dalam tahanan mereka.

Namun maklumat itu tidak dikongsikan dengan perdana menteri atau menteri tertinggi lain, kata kerajaan.

“Ia merupakan satu kecuai-an besar dalam perkongsian maklumat,” akui Timbalan Menteri Pertahanan Ruwan Wijewardene dalam sidang akhbar pada Rabu.

Presiden Maithripala Sirisena, yang juga menteri pertahanan dan undang-undang, berjanji Selasa lepas untuk membuat “perubahan besar dalam kepimpinan pasukan keselamatan dalam tempoh 24 jam akan datang.”

Semalam beliau berjumpa dengan parti-parti politik di negara itu untuk membincangkan krisis itu, dan kemudian dengan para pemimpin agama selepas kebimbangan meningkat mengenai tindak balas yang berpotensi ke atas masyarakat minoriti Muslim di Sri Lanka.

Penyiasat masih mengum-pul maklumat mengenai se-rangan itu dan mereka yang terlibat, dan Wijewardene mendedahkan kelmarin bahawa seorang penyerang pernah belajar di Britain dan melanjutkan pengajian lepasan ijazah di Australia sebelum dia pulang ke Sri Lanka.

“Kebanyakan mereka berpendidikan dan berasal dari-pada keluarga kelas perte-ngahan, pertengahan atas, jadi mereka agak berdikari dari segi kewangan dan keluarga mereka agak stabil dari segi kewangan, itulah faktor yang membimbangkan dalam perkara ini,” ujar menteri itu.

Sebuah pasukan FBI kini berada di Sri Lanka, kata Wijewardene, dan Britain, Australia dan Emiriah Arab Bersatu telah menawarkan bantuan perisikan.

Pakar berkata, serangan bom itu mempunyai banyak ciri serangan Daesh, dan kerajaan berpendapat anggota militan tempatan tidak mungkin bertindak bersendirian.

Namun ia belum lagi mengesahkan secara rasmi sebarang peranan militan Daesh dalam letupan itu.

Suspek penting dalam sera-ngan itu juga masih belum dapat dikesan iaitu ketua NTJ Zahran Hashim.

Dia dipercayai antara lapan orang dalam sebuah video yang dikeluarkan Selasa lepas oleh Daesh setelah ia mengaku bertanggungjawab bagi sera-ngan itu, di mana dia kelihatan mengetuai ikrar taat setia kepada ketua Daesh Abu Bakr al-Baghdadi.

Pegawai berkata ia masih belum jelas sama ada Hashim adalah antara penyerang nekad terbabit atau sudah melarikan diri selepas letupan berlaku.

Pegawai menyatakan mereka tidak dapat menolak serangan selanjutnya selagi suspek masih bebas.

Pada keseluruhannya, sembilan orang dipercayai meletupkan diri Ahad lepas, sama ada sewaktu serangan atau ketika polis cuba menangkap mereka.

Sumber polis Sri Lanka memberitahu AFP dua adik beradik Muslim, anak-anak lelaki kepada seorang peniaga rempah kaya di Colombo, meletupkan diri di Hotel Shangri-La dan Hotel Cinnamon Grand.

Bapa mereka kini dalam tahanan reman.

Hotel Kingsbury di ibu negara adalah yang terakhir diserang. Serangan keempat dirancangkan ke atas sebuah hotel gagal, kata pihak berkuasa. Penyerangnya diekori pulang ke sebuah rumah tumpangan di Colombo, di mana dia meletupkan diri dan membunuh dua orang.

Sumber yang dekat dengan siasatan berkata dua orang lagi – seorang lelaki dan seorang wanita – meletupkan diri di sebuah lokasi lain ketika pasukan keselamatan melancarkan serbuan. Letupan itu mengorbankan tiga anggota polis. — AFP

Advertisement