Anda di sini

Misi mendaki gunung tertinggi dunia, Gunung Everest - Mengimbas kejayaan menjejaki Everest Base Camp

Advertisement

Bahagian III

 Pemandangan dan suasana indah di Namche Bazar.
INDAH: Pemandangan dan suasana indah di Namche Bazar.

SEMASA dalam perjalanan pulang dari Everest Base Camp (EBC) Azman sempat membuat orang salji yang pada ketika itu mendahului pendaki-pendaki lain.

“Saya terpaksa bergerak pantas kerana terlalu sejuk dan pergerakan itu saya yakini akan mampu memanaskan badan dan memberi sedikit kelegaan kepada badan saya.

Saya juga sempat melihat binatang liar dikenali sebagai yak yang berbulu tebal sedang makan di banjaran itu dan ketika itu ribut salji melanda sehingga pemandangan saya makin kurang jelas di hadapan,” katanya.

Perjalanan pendaki lain dengan menuruti pemandu gunung agak perlahan dan semua pendaki perlu sampai ke bawah dan apa juga keadaan, pemandu akan memastikan keselamatan pendaki dan menunggu pendaki yang bergerak perlahan serta akan bersedia membantu sekiranya berlaku apa-apa masalah.

“Porter yang bersama kami juga bergerak sangat cepat dan saya berjaya mengejar mereka yang tiba awal di tempat persinggahan Namche Bazar pada jam 5.40 petang dengan suhunya pada waktu itu dalam lingkungan negatif 3 hingga 5 darjah celsius.

“Di situ kami makan minum dan tidur, dan meneruskan perjalanan pada esoknya sehingga ke Lukla. Bersama kami tiga  porter yang mengangkat barang dengan kemampuan  mereka juga teruji kerana terpaksa mengangkat barang pendaki sehingga berat 20 kilogram (kg).

“Saya berasa kasihan melihat kepayahan porter tersebut lantas membawa mereka  makan bersama setibanya di Namche Bazar,” kata Azman sambil menambah, selain barang yang dibawa porter, ada juga barang kelengkapannya pikul sendiri.

“Dari Namche kami ke Lukla dan ia antara perjalanan yang agak sukar, saya berjalan tidak mengikut laluan, terpaksa berlari anak untuk keluarkan peluh dan cuba melalui jalan pintas yang lurus dan selamat berbanding jalan yang biasa diguna pendaki,” katanya.

Sepanjang perjalanan mereka merentasi sembilan jambatan gantung yang agak bergoyang sekiranya ditiup angin serta merupakan jambatan yang turut dilalui yak dan keldai.

“Apabila haiwan itu dalam kumpulan yang banyak melalui jambatan itu para pendaki terpaksa memberi laluan kerana haiwan itu tidak akan mempedulikan manusia di hadapannya sebaliknya akan bergerak terus di laluan jambatan itu,” katanya.

 Azman bertemu dengan pendaki kumpulan lain dari Malaysia menuju ke Phakding.
SAMA MINAT: Azman bertemu dengan pendaki kumpulan lain dari Malaysia menuju ke Phakding.

Azman berkata, semasa menuruni banjaran tinggi itu mereka bergerak perlahan langkah demi langkah dan bagi yang bergerak pantas, pendaki atau porter gunung perlu berhenti rehat 15 minit selepas sampai jarak satu kilometer dan dua kilometer.

Semasa dalam perjalanan itu mereka menyaksikan memorial pendaki yang telah meninggal dunia semasa pendaki-pendaki itu dalam perjalanan ke Everest.

PENDAKI WANITA MELECET KAKI

Di Lukla mereka menghadapi ujian lagi apabila enam pendaki wanita kumpulan berkenaan terkena kaki melecet.

Mereka terpaksa membayar AS$100 untuk mendapatkan kemudahan menunggang kuda dari Phakding ke Lukla dan tempoh perjalanan memakan masa empat jam untuk sampai ke tempat pemeriksaan terakhir iaitu pada jam 4.50 petang.

 Lapangan Terbang Hillary antara lapangan terbang paling tinggi dan paling bahaya di dunia.
TINGGI: Lapangan Terbang Hillary antara lapangan terbang paling tinggi dan paling bahaya di dunia.

Setibanya di Lukla tersergam lapangan terbang kecil dan rumah rehat. Landasannya sangat berbahaya dengan hujung landasannya tebing curam dan gaung.

“Menumpang penerbangan ke sini seperti mengguna `roller coaster’, semua penumpang berteriak dalam keadaan ketakutan apabila pesawat mula terbang menuruni curam  selepas itu menaik dari landasan itu.

“Di hujung landasannya gaung dan sekiranya enjin kapal terbang menghadapi masalah pastinya penumpang bersama pesawat itu sekali itu akan menjunam ke dalam gaung,” katanya.

IDAM TAWAN PUNCAK EVEREST

Azman berkata, kos untuk menawan puncak Everest sangat tinggi, untuk perjalanan penerbangan ke KLIA ke Kathmandu Nepal sahaja mencecah RM5,100 dan dia menganggarkan perbelanjaan yang telah digunakan adalah dalam RM10,000 dari Sarawak ke KLIA dan seterusnya ke Kathmandu dan EBC.

“Saya juga perlu bermalam satu hari lebih awal daripada pendaki-pendaki lain dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Begitupun dia berbangga akhirnya memperolehi sijil pengesahan ke EBC daripada pengurus pakej pendakian yang mempunyai pengalaman 26 tahun dalam bidang itu bahkan  pandai berbahasa Melayu membawa dan mengurus pendaki dari luar untuk ke EBC iaitu Pengarah Urusan www.mountainworldtreks.com Saligram Aryal.

“Semasa menerima sijil itu saya tidak percaya dan macam bermimpi,” katanya sambil bercerita lanjut bagaimana sukarnya cabaran yang dilalui semasa pendakian itu.

Bukan hanya cabaran cuaca dan suhu sejuk, makan minum semasa mendaki juga adakalanya tidak memenuhi selera seseorang pendaki dan makanan yang ditawarkan adalah lebih kepada sayuran-sayuran antaranya roti epal, pizza sayur, epal pai, sup sayur, telur, nasi kosong, nasi goreng telur, nasi pasta, roti nan, capati kentang dan sebagainya.

“Makanan seperti daging pula adalah daripada jenis tidak halal dan bukan sembelihan orang Islam,” jelasnya.

“Selain itu makanan lain yang ada ialah burger sayur, mi sayur, sup cendawan, bubur pizza cendawan, buah delima dan epal antara yang disedia tetapi ia masih dapat memenuhi selera saya.

“Buah delima rasanya manis berbanding yang ada di Malaysia dan saya ada bawa balik sebiji buah delima ke Sarawak memandangkan rasanya yang manis,” katanya yang membawa beg tidur tertutup sepenuhnya yang mampu menahan sejuk negatif 16 darjah Celsius sahaja sepanjang perjalanan pendakian itu sembil turut memberitahu jenis beg tidur yang mampu menahan sejuk negatif 50 darjah Celsius pula mencecah harga RM800.

Azman yang menghadapi masalah ‘slipped disc’ atau cakera tergelincir pada tulang belakang serta pernah menjalani patah tulang akibat kemalangan sebelum ini serta masih menerima rawatan itu turut menyatakan harapannya untuk menawan puncak Everest tetapi bukan dalam masa terdekat.

“Selain mendaki Everest, rancangan masa depan saya adalah berkeinginan untuk mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania yang berketinggian 5,895 meter (19,340 kaki) dari aras laut.

“Saya sudah rancang dan daftar nama untuk ke sana dan pada November 2020 (9-10 November 2020) saya akan pergi mendaki dengan peserta lain yang saya tidak kenal tetapi semuanya dari Malaysia,” ujarnya.

 Azman bersama ahli kumpulannya tiba di Gorak Shep.
TIBA: Azman bersama ahli kumpulannya tiba di Gorak Shep.

Mengakhiri perbualan, Azman memberi pesanan kepada generasi baharu yang lebih kepada gajet serta agak kurang berminat dengan aktiviti luar supaya tidak terlalu taksub dengan gajet.

“Gajet baik untuk memudahkan semua tetapi berpada-pada mengguna atau bermain dengan alatan itu, jangan terlalu obses dan untuk penduduk Sarawak pula terutama di Bintulu, jangan terlalu selesa di tempat sendiri sebaliknya mereka perlu melihat dunia luar, negara luar sama ada negara kaya, membangun atau tidak yang mana pengalaman melihat negara orang baik untuk setiap orang meningkatkan kemajuan diri,” katanya.

Katanya, untuk membangunkan diri ambil yang positif, yang tidak baik tolak ketepi kerana yang positif adalah penguat kepada diri seseorang itu untuk lebih maju ke hadapan.

“Pengalaman melihat negara orang juga memberi motivasi untuk diri saya dan seseorang bahkan saya sendiri pernah mengalami kegagalan 10 kali, pernah kemalangan patah tangan ‘slipped disc’ pada tulang belakang yang kini masih dalam rawatan namun itu semua meskipun ada gangguan sedikit semasa saya mendaki Everest dengan keadaan badan yang sakit-sakit tetapi ia tidak menghalang untuk saya secara perlahan-lahan mencapai impian itu,” katanya.

Azman berkata, orang yang banyak memberi semangat dan pendorong atas banyak kejayaannya adalah arwah bapanya, Kepli Suhaili yang telah meninggal dunia pada 6 Julai 2015.

“Ibu saya masih sihat tetapi tidak begitu menggalakkan saya menempuh cabaran besar ini (atas faktor keselamatan) tetapi ibu tidak dapat menahan keinginan saya yang terlalu minat terhadap bidang ini,” katanya.

 Azman bersama bendera Sarawak setibanya di Everest Base Camp.
MEMBANGGAKAN: Azman bersama bendera Sarawak setibanya di Everest Base Camp.

Mengenai pelepasan cuti kerja, katanya agak sukar untuk mendapatkan cuti selama 16 hari daripada majikan tetapi setelah perbincangan lanjut cutinya diluluskan untuk dia meneruskan impian besar mendaki Everest itu.

Begitupun impian itu akhirnya terlaksana yang nyata membawa kebanggaan besar bukan sahaja kepada pengurus sumber manusia dan pengurusan kanan penyelenggaraan termasuk juruteknik lain di syarikat tempat dia bekerja bahkan dilihat mereka sebagai pencapaian luar biasa anak Bintulu dari Sarawak ke Everest.

Gunung Everest dianggarkan berketinggian 8,850 meter (29,035 kaki atau hampir 5.5 batu). Ada variasi dari segi ukuran (kerajaan Nepal tidak mengesahkan ukuran itu secara rasmi dengan ketinggian Everest masih dianggap 8,848 meter). Ia pertama kali diukur pada 1856 dengan ketinggian 29,000 kaki tetapi diisytiharkan sebagai 29,002 kaki tinggi.

Gunung itu mempunyai dua laluan mendaki, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet. Dari keduanya, rabung tenggara adalah lebih mudah secara teknikal untuk mendaki dan merupakan laluan yang paling sering digunakan. Ia juga merupakan laluan yang digunakan oleh Hillary dan Norgay pada 1953.

Disebabkan isu politik, bukannya disengajakan kerana sempadan Tibet ditutup kepada orang asing pada 1949. Kebanyakan percubaan dilakukan antara bulan April dan Mei sebelum musim monsun musim panas melanda. Pertukaran pada aliran arah angin pada ketika itu turut mengurangkan purata kelajuan angin di gunung.

Percubaan mendaki kadangkala dilakukan selepas monsun pada September dan Oktober bahkan meningkatkan kesukaran untuk mendaki apabila peningkatan jumlah salji dari monsun di kawasan itu.

  • oleh
  • Advertisement