Anda di sini

Komuniti perniagaan Bumiputera harus bentuk konsortium

Advertisement
 Abang Johari diiringi Salang (kanan) serta tetamu jemputan lain semasa tiba di BCCK sempena merasmikan AGM DCCI Ke-11 semalam.
BERSEMANGAT: Abang Johari diiringi Salang (kanan) serta tetamu jemputan lain semasa tiba di BCCK sempena merasmikan AGM DCCI Ke-11 semalam.

KUCHING: Komuniti perniagaan Bumiputera khasnya Dayak di negeri ini harus bergabung membentuk konsortium bagi membolehkan mereka terlibat dalam projek yang lebih besar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi pihak kerajaan apa yang penting adalah membuka peluang dan menyediakan dana selain kemudahan kepada komuniti perniagaan.

Namun menurutnya, ia bergantung kepada komuniti atau syarikat yang berkaitan untuk merebut peluang yang disediakan kerajaan itu.

“Jika firma pakar runding anda mempunyai hanya dua jurutera maka cari jurutera yang lain untuk membentuk sebuah konsortium.

“Dengan itu ia membolehkan anda merangkumi keseluruhan pakej perkhidmatan rundingan yang ditawarkan sekali gus membida untuk projek lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung (AGM) Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) yang dihadiri Presiden DCCI Datuk Joseph Salang Gandum di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Abang Johari berkata, tidak dinafikan ada sesetengah firma perundingan yang kecil dan tidak mampu untuk mengambil tawaran projek terpaksa memberikan ia kepada firma lain.

“Namun jika anda bersatu dan bergabung untuk lebih besar atau membentuk konsortium, saya percaya projek diberikan dapat dilaksanakan dengan berjaya,” tegasnya.

Sementara itu pada masa yang sama beliau menasihati DCCI serta dewan perdagangan dan perindustrian lain di Sarawak supaya memperkasakan lagi pengetahuan ahli mereka melalui program latihan.

Katanya, program latihan khasnya lebih kepada teknologi harus disediakan kepada semua ahli termasuk kakitangan sokongan mereka.

“Dewan mungkin boleh menganjurkan latihan teknologi kerana dengan teknologi terkini ia mampu membantu anda menguruskan perniagaan selari dengan era terkini,” katanya.

Tambahnya, komuniti Dayak terutamanya, mempunyai kekuatan dari segi tanah sebagai sumber untuk dibangunkan seperti sebagai perniagaan moden.

Malahan katanya, mereka sebagai satu komuniti boleh membangunkan tanah itu untuk pertanian moden.

Pada majlis yang sama Abang Johari turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada DCCI.

  • oleh
  • Advertisement