Anda di sini

Kanser prostat, kaum Adam perlu ambil tahu

Advertisement
 Dr Teh menerangkan mengenai BPH dan kanser prostat.
KESEDARAN: Dr Teh menerangkan mengenai BPH dan kanser prostat.

RAMAI yang menggeruni kanser prostat tetapi tidak mengenali simptom, penyakit berkaitan dan cara merawatnya.

Ketua Pakar Perunding Kanan Jabatan Urologi Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Teh Guan Chou ketika ditemui berkata, kanser prostat merupakan kanser kelima selepas kanser paru-paru, kanser hati, kanser perut dan kanser usus yang sering dihidapi oleh kaum Adam di seluruh dunia.

Fungsi kelenjar prostat tegas Dr Teh ialah untuk menghasilkan enzim bagi  mencairkan semen selain menyediakan nutrien untuk sperma dan prostat bagi menghasilkan satu pertiga daripada jumlah air mani.

“Benigh Prostate Hyperplasia atau BPH, kanser prostat dan prostatitis merupakan penyakit yang berkaitan dengan prostat.  

“Apabila umur golongan lelaki semakin meningkat kepada 50 tahun ke atas terdapat peluang yang lebih besar untuk mendapat gejala penyakit berkaitan prostat.

“Biasanya terjadi jika terdapat jangkitan BPH yang mengakibatkan kelenjar prostat yang berukuran 20cc terletak berdekatan dengan pundi kencing dalam saluran urethra mengembang.

“Maka mulalah terjadi kencing yang tidak lawas kerana ia akan mengecilkan saluran urethra menyebabkan air kencing sukar untuk keluar atau dipanggil sebagai ‘LUTS’.

“Gejala lainnya apabila air kencing mengambil masa untuk dikeluarkan, kerap membuang air kecil lebih daripada tiga kali dalam satu malam, rasa tidak habis kencing dan sukar untuk menahan kencing,” katanya.

Kanser prostat hanya akan dihidapi pesakit sekiranya ahli keluarga lainnya mempunyai bawaan sel kanser yang lain.

Bagaimanapun, bagi menentukan sama ada pesakit menghidap kanser berkenaan, ahli perubatan perlu memberi soalan bertulis yang dinamakan International Prostate Symptoms (IPSS) bertanyakan lapan soalan berkaitan dengan gejala kencing pesakit terlebih dahulu.

Disusuli dengan ujian ‘Prostate Specific Antigen’ (PSA) dan ‘Prostate Biopsy’ (Biopsy) bagi menentukan dengan tepat sekiranya pesakit benar-benar mengalami kanser prostat serta ‘Transrectal Ultrasound’ (TRUS).

Dr Teh mendedahkan, menurut kajian yang dijalankan oleh Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011 menunjukkan penghidap kanser prostat tahap satu di Malaysia sehingga tahun 2011 adalah sebanyak 16 peratus, pada tahap dua (24 peratus), tahap tiga (19 peratus) dan tahap empat (41 peratus).

Pusat University Malaya Medical Centre (UMMC) juga telah mencatatkan seramai 43 pesakit pada tahap empat disusuli Kuantan (13 orang), Pulau Pinang (16 orang) dan Sarawak (23 orang) setakat tahun 2015.

Pihaknya kini masih dalam rangka mengumpul data bagi statistik terbaharu kanser berkenaan bagi tahun terkini.

Justeru, kanser yang telah berada di tahap empat katanya amat memerlukan rawatan segera iaitu menerusi beberapa kaedah.

Menurut Dr Teh, terdapat kaedah pembedahan terkini yang tidak meninggalkan banyak parut iaitu dengan menggunakan ‘Robotic Prostatectomy’ selain ‘Radical Prostatectomy’, ‘RadiotherapyPlus Harmonal Therapy’, IMRT dan ‘Brachytheraphy Radioactive Seed Implants’.

Sementara kanser prostat yang berisiko rendah boleh diuruskan dengan pengawasan aktif atau CPRC- ‘Castrate Resistant Prostate Cancer’.

Kata Dr Teh, ramai kalangan kaum Adam yang keberatan untuk berjumpa doktor bagi merawat BPH kerana takut dibedah atau dimaklumkan mengalami kanser prostat.

Bagi menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan, pihaknya telah mengadakan Kempen Kesedaran Prostat 2019 pada 6 dan 7 April lepas.

LUTS lazim dialami dalam kalangan lelaki berumur 45 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai simptom datang untuk mendapatkan rawatan atau nasihat pakar hanya sedikit bilangannya.

“Ramai yang menganggap ia sebagai tanda penuaan dan tidak selesa untuk bercakap mengenainya dengan doktor mereka.

“Sedangkan mereka tidak menyedari sebanyak 50 peratus lelaki yang berumur 60 tahun ke atas mempunyai masalah BPH dan hanya 21 peratus sahaja yang tampil mendapatkan rawatan selebihnya menyembunyikan sakit mereka,” terang beliau.

Dr Teh berkata, pihaknya melihat kemungkinan untuk berkolaborasi dengan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan untuk menjalankan lebih banyak kempen kesedaran berkenaan BPH dan kanser prostat di Sarawak.

Penyakit BPH dan kanser prostat tidak memilih mangsa dan mengikut rekod Hospital Umum Sarawak (HUS), pihak hospital itu pernah merawat seorang pesakit kanser berkenaan semuda 37 tahun.

BPH bagaimanpun, merupakan penambahan bilangan sel dalam kelenjar prostat dan menyebabkan pembesaran prostat namun ia bukanlah kanser.

Penyakit ini akan menyebabkan prostat mengembang dan mengganggu  kesihatan lelaki.

Paling parah bagi lelaki berumur 40 tahun ke atas, apabila BPH tidak dirawat kerana ia akan menyebabkan 55 peratus gejala tersebut menjadi lebih teruk.

Manakala mereka yang dirawat biasanya mempunyai 30 peratus peluang untuk berada dalam keadaan stabil dan hanya 15 peratus yang menunjukkan perubahan ketara selepas rawatan diberikan.

Gejala BPH dilihat teruk apabila kelenjar prostat menjadi lebih besar iaitu berukuran melebihi 40cc ke atas.

Komplikasinya turut menyebabkan kencing berdarah, jangkitan kuman, batu karang, kegagalan otot pundi kencing, kerosakan buah pinggang dan tidak dapat kencing langsung (AUR).

Mereka yang mengalami LUTS juga mempunya kecenderungan untuk mengalami masalah ‘mati pucuk’.

Pemeriksaan prostat melalui rektum perlu dijalankan untuk melihat anggaran saiz prostat yang kian membengkak dan untuk memastikan sekiranya terdapat nodul keras.

Ahli perubatan juga akan meminta pesakit menjalani kadar aliran kencing menggunakan ‘Uroflowmetry’ bagi pemeriksaan pesakit BPH, ‘bladder scan’, pemeriksaan ultrasound untuk buah pinggang dan pundi kencing.

Rawatan bagi BPH dalam peringkat awal akan dipantau, menerusi pengambilan ubat-ubatan, pembedahan endoskopi (TURF, Laser, Stent, atau pembedahan terbuka (open surgery).

Ubat yang membantu merawat BPH ialah alpha blockers (Tamsulosin (harnal), alfuzosin (Xatral XL), Daxazosin (Cardura) atau Terazosin (Hytrin).

Ia memberi kelegaan yang cepat daripada gejala namun menyebabkan kesan sampingan.

Ubat-ubatan seperti Finasteride (Proscar), Dutasteride (vodart) digunakan untuk mengecilkan prostat yang mengembang yang kini dalam bentuk kapsul dipanggil Duodart 0.4 mg/0.5mg.

Pembedahan hanya diperlukan sekiranya pesakit tidak dapat mengeluarkan air kencing, mengalami kerosakan ginjal disebabkan BPH, terdapat infeksi air kencing yang kerap, kencing berdarah atau batu karang.

Bagaimanapun, pembedahan moden yang dipanggil endoskopi adalah yang paling selamat dan mempunyai kesan sampingan yang sangat rendah, ujar Dr Teh lagi.

  • oleh
  • Advertisement