Anda di sini

Boling remaja Asia, Malaysia berjaya capai sasaran raih dua emas

Advertisement
 Pasukan negara meraikan kejayaan bersama (belakang, dari tiga kiri) Robert, Maradona dan para jurulatih selepas majlis penyampaian hadiah.
TAHNIAH: Pasukan negara meraikan kejayaan bersama (belakang, dari tiga kiri) Robert, Maradona dan para jurulatih selepas majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Malaysia mencapai sasaran dua pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia Ke-20 yang melabuhkan tirai di Megalanes Sarawak, E-Mart Batu Kawa semalam.

Pemain berusia 20 tahun, Gillian Lim Siew Giok menyumbang emas terakhir negara selepas beraksi cemerlang di peringkat stepladders Masters.

Tampil selaku pilohan ketiga, Gillian menewaskan pilihan kedua Charlene Lim dari Singapura dengan 200-191 di peringkat separuh akhir.

Atlet kelahiran Sarawak itu terus fokus pada peringkat final dengan menundukkan peserta Korea Selatan, Shin Hyebin 200-184 pada perlawanan pertama dan 184-164 pada perlawanan kedua untuk memastikan pingat emas.

Dalam perlawanan stepladders Masters Lelaki, pilihan kedua Muhammad Hafiz Zainuddin menyingkirkan pilihan ketiga, Moon Hayeong dari Korea Selatan dengan 224-165 pada peringkat separuh akhir.

Berjaya menundukkan pilihan pertama, Xavier Teo dari Singapura dengan 225-224 pada perlawanan pertama, Hafiz bagaimanapun gagal mengekalkan momentum apabila tewas tipis 202-208 pada perlawanan kedua untuk meraih perak.

Setiausaha Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Berakhir saingan selama enam hari, Singapura mengesahkan kejuaraan dengan meraih enam emas dan tiga gangsa.

Malaysia di kedudukan kedua dengan dua emas, empat perak dan dua gangsa, Filipina kedudukan ketiga dengan satu emas, satu perak dan satu gangsa disusuli Macau (1-0-0), Korea Selatan (0-4-4) dan Australia (0-1-0).

Lain-lain pasukan iaitu Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Bahrain pulang dengan tangan kosong.
“Secara keseluruhan, saya amat gembira dan berpuas hati dengan prestasi pasukan di mana kita berjaya mencapai sasaran dua pingat emas.

“Harapan kita agar pasukan ini dapat menimba ilmu dan pengalaman dari kejohanan ini dengan tidak bersikap sambil lewa dan lebih fokus.

“Walaupun pemain wanita kita ramai yang baharu, mereka telah beraksi dengan baik untuk memenangi dua pingat emas dan muncul juara keseluruhan kategori wanita,” komen Pengurus Pasukan, Robert Lu.
Katanya, jurulatih akan kembali ke tanah air masing-masing untuk mengenalpasti setiap kelemahan.

Tambah Robert, kejohanan kali ini cukup sengit kerana disertai ramai pemain remaja terbaik dari Asia walaupun hanya 10 pasukan yang mengambil bahagian.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan Singapura yang muncul juara keseluruhan.

Advertisement