Anda di sini

Bebanan plastik, fikir dahulu sebelum guna

Advertisement
 Justine (tiga kanan) menyerahkan anak pokok kepada salah seorang peserta sebagai simbolik Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar Untuk Guru Penasihat Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Peringkat Negeri Sarawak di RAVE YMCA, semalam.
PELIHARA ALAM SEKITAR: Justine (tiga kanan) menyerahkan anak pokok kepada salah seorang peserta sebagai simbolik Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar Untuk Guru Penasihat Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Peringkat Negeri Sarawak di RAVE YMCA, semalam.

SIBU: Semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan menangani isu pencemaran plastik dengan mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian dan bebanan plastik kepada ekosistem dan alam sekitar.

Pemangku Kontroler Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Justine Jok Jau Emang berkata, penggunaan plastik perlu diperangi habis-habisan dan fikir semasak-masaknya sebelum memilih untuk menggunakan plastik sama ada ia keperluan atau sebaliknya.

“Cara yang paling mudah untuk bersama-sama melindungi alam sekitar ialah dengan mengubah gaya hidup kita dan mengurangkan kadar kebergantungan kita terhadap plastik.

“Contohnya, dengan cara membawa sendiri beg semasa membeli-belah dan penggunaan beg plastik akan dapat dikurangkan dengan ketara,” jelasnya pada Majlis Penutupan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar Untuk Guru Penasihat Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Peringkat Negeri Sarawak di RAVE YMCA semalam.

Justine berkata, NREB memberi geran Kelab PALS setiap tahun kepada sekolah untuk melaksanakan projek atau aktiviti alam sekitar.

“Oleh kerana isu pencemaran plastik yang amat mendesak, maka pada tahun depan, keutamaan geran Kelab PALS hanya akan diberi kepada sekolah yang mengutarakan projek atau aktiviti berkaitan dengan kebersihan dan isu pencemaran plastik sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, Kelab PALS merupakan program ‘flagship’ NREB yang telah diperkenalkan di sekolah-sekolah di Sarawak sejak 1999.

“Melalui Kelab PALS ini, kita berharap agar amalan hijau dapat disemai di peringkat sekolah dan seterusnya diterjemahkan melalui tindakan dan aktiviti penjagaan alam sekitar yang bukan sahaja melibatkan warga sekolah malahan menjangkau ke lingkungan komuniti dan masyarakat setempat amnya,” jelasnya.

Sehingga kini, sebanyak 375 sekolah di seluruh Sarawak telah menubuhkan Kelab PALS di sekolah masing-masing.

“Ini merupakan satu perkembanan yang sangat positif dan kita berharap agar Kelab PALS akan sentiasa relevan selari dengan matlamat negara dalam menitikberatkan pendidikan untuk pembangunan lestari atau Education for Sustainable Development (ESD),” katanya.

Justine berkata, bengkel guru penasihat Kelab PALS yang dianjurkan merupakan satu daripada komitmen NREB bagi memberi pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni alam sekitar kepada guru-guru.

“Dan apabila mereka balik ke sekolah berupaya membimbing murid-murid ahli Kelab PALS untuk melaksana aktiviti alam sekitar di sekolah masing-masing. Tahun ini merupakan tahun kelima bengkel seumpama ini dilaksanakan.

“Ini bengkel yang ke-13 diadakan di pelbagai tempat di Sarawak. Sehingga kini, seramai 735 guru telah dilatih NREB melalui bengkel sebegini,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 60 orang telah mengikuti bengkel tiga hari yang bermula 23 hingga 25 April di RAVE YMCA.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Sarawak Energy Berhad (SEB) Robin Tigai, Penolong Kontroler Kanan NREB Rahmah Biak, Penyelia Kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu Inggol Utek, Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (UPPK) PPD Kanowit Willy Johnson dan Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Pejabat NREB Sibu Dau Utau.

  • oleh
  • Advertisement