Anda di sini

Valverde ‘simpan tenaga’ Messi untuk Liverpool

Advertisement
 Messi (tengah) duduk di bangku pemain simpanan ketika perlawanan di Stadium Mendizorroza, Vitoria pada Selasa lepas. — Gambar Bernama
DIREHATKAN: Messi (tengah) duduk di bangku pemain simpanan ketika perlawanan di Stadium Mendizorroza, Vitoria pada Selasa lepas. — Gambar AFP

BARCELONA, Sepanyol: Barcelona akan mengesahkan kejuaraan La Liga Sepanyol jika Atletico Madrid tewas kepada Valencia pada perlawanan lewat selepas menewaskan Alaves 2-0 untuk memberikan mereka kelebihan 12 mata di singahsana liga Selasa lepas.

Lionel Messi bermula di bangku simpanan pada perlawanan di Mendizorrotza dalam satu situasi yang menjelaskan betapa selesa Barcelona dalam saingan kejuaraan liga, dengan pengesahan kejuaraan hanya menunggu masa.

Jika Atletico berjaya mengelak kekalahan kepada Valencia di Wanda Metropolitano, Barca masih boleh mengesahkan kejuaraan mereka akan menewaskan Levante di Nou Camp Sabtu ini.

Mereka juga boleh mengesahkan kejuaraan sebelum sepak mula pada hari Sabtu jika Atletico gagal mengutip sekurang-kurangnya empat mata dari perlawanan menentang Valencia dan Real Valladolid, dengan perlawanan menentang Valladolid berlangsung lebih awal pada hari Sabtu.

“Ia kemenangan berharga bagi kami,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde. “Pada akhirnya, walau apa jua cara orang berkata liga sudah dimenangi, ia telah dicapai dalam padang.

“Kami menghampirinya (kejuaraan), memerlukan tiga lagi mata dengan baki empat perlawanan. Ia amat menggembirakan untuk berada di kedudukan ini selepas berbulan-bulan berusaha.”

Real Madrid, yang bermain menentang Getafe pada hari Khamis, ketinggalan 16 mata di tangga ketiga dengan Alaves kekal di tangga kelapan tetapi impian mereka memburu kelayakan ke Liga Europa musim hadapan semakin pudar.

Messi dimasukkan pada minit ke-61, tidak lama selepas pasukannya menjaringkan dua gol – gol pertama dijaringkan Carles Alena sebelum Luis Suarez menambah jaringan dari satu tendangan penalti.

Valverde merehatkan Messi dengan perhatian lebih penting pada perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool.

Liverpool, yang masih  bersaing kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan Manchester City, tidak mempunyai keselesaan seperti Barca apabila berdepan Huddersfield pada hari Jumaat.

“Idea pada masa rehat ialah untuk menurunkan Leo kerana keputusan tidak jelas,” kata Valverde.

“Tetapi merujuk kepada Kasut Emas dan perkara seperti itu, kami hanya memberikan fokus kepada apa yang harus kami lakukan untuk menang.

“Leo mempunyai banyak cabaran individu di hadapannya tetapi hari ini, ia adalah masa untuk berehat.”

Beberapa pemain utama juga direhatkan seperti Jordi Alba, Clement Lenglet dan Arthur Melo yang bersama-sama Messi bermula di bangku simpanan, membolehkan Samuel Umtiti bermain ketika beliau baharu pulih dari kecederaan sementara Philippe Coutinho bermula di jentera serangan bersama-sama Ousmane Dembele dan Suarez. — AFP

Advertisement