Anda di sini

The Borneo Post raih anugerah CyberSecurity Malaysia

Advertisement
 Pengurus Besar See Hua Marketing Pattrik Ting (tiga kiri) mewakili akhbar The Borneo Post menerima anugerah daripada Tan (empat dari kiri).
TAHNIAH: Pengurus Besar See Hua Marketing Pattrik Ting (tiga kiri) mewakili akhbar The Borneo Post menerima anugerah daripada Tan (empat dari kiri).

CYBERJAYA: Akhbar The Borneo Post menerima Anugerah Media Percetakan Yang Paling Menyokong bagi kategori akhbar Media Percetakan Yang Paling Menyokong CyberSecurity Malaysia bagi tahun 2018 untuk Sarawak yang diadakan pada satu majlis penghargaan di Dewan Menara Axis, Cyberjaya, Selasa lalu.

Sebagai akhbar terlaris di Sarawak, The Borneo Post memainkan peranan penting pada masyarakat setempat untuk menyebarkan maklumat.

Anugerah berupa trofi dan sijil penghargaan disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tan Chan Ou.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dalam ucapannya berkata, fungsi media amat penting untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai peristiwa serta isu yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

“Media bukan sahaja berperanan sebagai perantara untuk menyebarkan maklumat tetapi juga menjadi pendorong kuat dalam mewujudkan serta membentuk pendapat umum. Selain itu, media juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Kuasa media kini menjadi lebih kuat dalam mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara apabila teknologi seperti Internet dijadikan sebagai medium penyebaran maklumat dan berita.

“KKMM dan CyberSecurity Malaysia amat menghargai sumbangan pihak media dan berterima kasih kepada semua pengamal media serta organisasi media kerana sentiasa menyokong dan membantu kami dalam mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu keselamatan siber,”katanya.

Ucapan Gobind dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM Tan Chan Ou.

Pada masa sama, CyberSecurity Malaysia turut mengadakan Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Cybersecurity Malaysia (CCP).

Gobind dalam teks ucapannya berkata, memandangkan industri keselamatan siber kekal sebagai sektor pertumbuhan tinggi bagi Malaysia, KKMM serta CyberSecurity Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memanfaatkan peluang baharu dan membina keupayaan.

“Kerjasama antara syarikat keselamatan siber dan pengguna turut memainkan peranan dalam pembangunan ekosistem keselamatan siber yang sihat,”

“CCP merupakan satu program strategik yang memangkin kerjasama di antara pemain industri keselamatan siber tempatan dan kerajaan dalam pembangunan inovasi produk dan perkhidmatan keselamatan siber yang secara tidak langsung akan dapat mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia,”

“Berdasarkan inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2014, lebih daripada 60 organisasi telah mendaftar sebagai rakan berdaftar dan angka ini dijangka meningkat melebihi 100 organisasi menjelang 2020.

“Antara program yang telah dijalankan di bawah CCP termasuk sesi dialog bersama industri yang mengambil kira pandangan dan maklum balas terus daripada pihak industri keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Advertisement