Anda di sini

Sarawak pertama ajar Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris

Advertisement
APA KHABAR?: Maszlee (tiga kiri) bersalaman dengan Abang Johari semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri. Turut kelihatan Manyin (tiga kanan) dan Azhar (kiri).
APA KHABAR?: Maszlee (tiga kiri) bersalaman dengan Abang Johari semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri. Turut kelihatan Manyin (tiga kanan) dan Azhar (kiri).

KUCHING: Sarawak negeri pertama akan melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kerajaan Sarawak juga akan membantu Kementerian Pendidikan dari segi pelaksanaan dan melatih guru-guru mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di negeri ini.

“Perkara yang perlu saya maklumkan kepada media ialah persetujuan Kerajaan Sarawak mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris seperti diminta Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Jadi Kerajaan Sarawak bersetuju menjadi negeri pertama akan melaksanakannya dan mereka akan membantu kita dari segi pelaksanaan serta melatih guru agar dapat mengajar kedua-dua subjek ini dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad.

Mengulas lanjut Maszlee berkata, guru-guru akan dilatih di Sarawak dan ia akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.

“Kita mendapati Kerajaan Sarawak memang ada membuat beberapa inisiatif bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa universiti yang ada di sini untuk memastikan guru dapat mengajar dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sementara itu, Manyin berkata Kerajaan Sarawak telah mengendalikan beberapa kursus untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris melibatkan lebih 400 guru sekolah rendah.

“Mereka ini telah menamatkan kursus minggu lepas dan sebahagian daripada mereka akan menjadi pelatih di peringkat daerah masing-masing.

“Manakala bagi bahasa Inggeris, kita (Kerajaan Sarawak) telah berbincang dengan universiti tempatan untuk melatih guru-guru kita,” katanya sambil menambah, inisiatif itu dibiayai Kerajaan Sarawak.

Ditanya mengenai kaedah kontrak RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti dipersetujui sebelum ini, Maszlee berkata perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba masanya.

“Ia masih perlu diperincikan. Kita akan maklumkan apabila tiba masanya nanti,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement