Anda di sini

Polis pantau trend sindiket jadikan Sabah transit dadah

Advertisement
OMAR MAMMAH
OMAR MAMMAH

TAWAU: Polis memantau rapi perkembangan trend mutakhir kegiatan sindiket dadah yang menjadikan Sabah sebagai transit untuk aktiviti pengedaran dadah ke negara jiran.

Pemantauan itu berdasarkan pengakuan suspek-suspek yang ditahan menerusi siri tangkapan di negeri ini, bahawa negara jiran adalah destinasi pengedaran dadah sebenar.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan pengedaran dadah menjadi perkara utama yang diberi tumpuan.

“Satu ketika dahulu, Sabah adalah destinasi untuk pengedaran dadah dari negara jiran, tetapi semenjak akhir-akhir ini situasi sebaliknya pula berlaku,” katanya.

Katanya polis menyedari kecenderungan kegiatan sindiket dadah yang menjadikan negeri ini transit membawa masuk dadah dari negara luar, dan keluar ke negara jiran.

Menurutnya, pemantauan turut dilakukan terhadap mekanisme yang dikenal pasti diguna pakai sindiket dadah untuk merancang pergerakan mereka di negeri ini.

“Kita lihat mereka cenderung menggunakan perkhidmatan kurier, dan kita ada berbincang dengan syarikat-syarikat perkhidmatan ini serta pengurusan lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata seboleh-bolehnya pemeriksaan perlu dijalankan terhadap setiap barangan meragukan yang dibawa masuk menerusi kiriman perkhidmatan kurier.

  • oleh
  • Advertisement