Anda di sini

Pochettino akui bangga saksi kesungguhan pemainnya

Advertisement
 Eriksen (tengah) melepaskan rembatan dari luar petak penalti sebelum menjaringkan gol kemenangan Spurs pada aksi liga menentang Brighton di Stadium Tottenham Hotspur, London kelmarin. — Gambar AFP
GOL PENTING: Eriksen (tengah) melepaskan rembatan dari luar petak penalti sebelum menjaringkan gol kemenangan Spurs pada aksi liga menentang Brighton di Stadium Tottenham Hotspur, London kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Mauricio Pochettino mengakui pemain bintangnya yang keletihan mendesak diri mereka sendiri selepas gol lewat Christian Eriksen memastikan kemenangan sukar 1-0 ke atas Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris Selasa lepas.

Spurs menguasai permainan dari awal sehingga tamat di Stadium Tottenham Hotspur tetapi pertahanan kental dan penyudah hambar pasukan tuan rumah menyebabkan permainan hanya ditentukan dengan gol minit ke-88.

Eriksen akhirnya menamatkan kekebalan Brighton dengan satu rembatan jarak jauh yang melonjakkan Spurs dengan kelebihan tiga mata berbanding Chelsea di tangga keempat dan empat mata berbanding Arsenal di tangga kelima.

“Pasukan ini tidak secergas yang kami mahukan, bukan hanya letih fizikal tetapi mental, jadi kami harus mengucapkan tahniah kepada pemain. Saya berasa sangat bangga dengan mereka,” kata Pochettino.

“Brighton adalah lawan yang sangat berani. Apa yang paling penting ialah kami terus percaya dan tidak mengalah.”

Walaupun Arsenal boleh merapatkan kedudukan dengan kurang satu mata jika menang di Wolves pada perlawanan lewat, keputusan ini sangat penting dalam usaha Spurs untuk layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan menerusi empat tangga teratas liga.

Tottenham sekarang sudah menang semua empat perlawanan dalam semua pertandingan di stadium baharu mereka dan menjaringkan lapan gol tanpa bolos.

Ini adalah perlawanan paling menge-cewakan di stadium dengan nilai 1 bilion pound dengan Spurs kelihatan tumpul tanpa penyerang utama, Harry Kane yang mengalami kecederaan sebelum Eriksen memastikan kemenangan dengan gol kesembilan beliau dalam semua pertandingan musim ini.

Tetapi Pochettino berasa gembira dengan cara pemainnya berusaha sehingga akhir musim walaupun keletihan kerana jadual perlawanan yang padat.

“Kami mempunyai lebih dari 20 cubaan dan ganjarannya sangat besar sekali,” kata beliau.

“Ia sangat penting untuk mengutip tiga mata penuh dan berada dalam kedudukan yang baik dalam liga.”

Tottenham boleh mengesahkan lagi kedudukan mereka di empat tangga teratas liga apabila menentang West Ham United Sabtu ini sebelum memberikan fokus kepada perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax minggu hadapan.

“Kami harus berasa yakin, pasukan melakukan tugas yang hebat selepas perlawanan sukar menentang Manchester City,” tambah Pochettino.

Kekalahan adalah sukar buat Brighton, yang hanya menang dua dari 15 perlawanan liga terakhir dan berada satu anak tangga dan tiga mata di atas zon penyingkiran.

Mereka juga gagal menjaringkan sebarang gol dari tujuh perlawanan dalam semua pertandingan dan dalam bahaya dipintas Cardiff yang berada dalam zon penyingkiran ketika saingan mengelak penyingkiran semakin sengit.

Brighton tiba dengan fokus jelas – untuk bertahan – dan dibantu dengan keputusan Pochettino menurunkan Fernando Llorente sebagai penyerang utama dan Son Heung-min diletakkan di bahagian sayap walaupun penyerang antarabangsa Korea Selatan itu begitu berbisa sebagai penyerang utama, menyebabkan Spurs kelihatan tumpul melakukan penyudah.

Selepas lawannya gagal menyempurnakan beberapa peluang, Brighton membayangkan satu mata berharga sebelum Eriksen menjaringkan gol kemenangan ketika berbaki dua minit permainan. — AFP

Advertisement