Anda di sini

Penyeludupan 102 tong LPG ke Indonesia dipatahkan

Advertisement
Rosdi (kiri) bersama pegawai PGA menunjukkan kenderaan yang digunakan suspek mengangkut tong LPG tersebut.
RAMPASAN:Rosdi (kiri) bersama pegawai PGA menunjukkan kenderaan yang digunakan suspek mengangkut tong LPG tersebut.

KUCHING: Cubaan tiga lelaki termasuk dua warga tempatan menyeludup keluar 102 tong gas petroleum cecair (LPG) ke Indonesia berjaya dipatahkan dalam operasi Ops Libas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintenden Rosdi Inai berkata, anggotanya diketuai Inspektor Lokman Adli menahan dua kenderaan bernombor pendaftaran Indonesia untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan sekitar jam 2.40 petang kelmarin (Selasa).

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 51 tong LPG di dalam setiap kenderaan jenis Pelbagai Guna (MPV) tersebut.

“Pasukan serbuan kemudian bertindak merampas kesemua tong LPG tersebut selepas pemandunya gagal menunjukkkan sebarang dokumen yang sah berhubung bekalan tersebut.

“Susulan itu, dua lelaki tempatan berusia 48 dan 49 tahun yang menawar dan memberi wang (rasuah) sebanyak RM10,000 sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan undang-undang turut ditangkap,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tambahnya, seorang lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun turut ditangkap untuk membantu siasatan.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk wang (rasuah) dan dua kenderaan tersebut mencecah RM179,300.

“Rampasan tong LPG tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Rosdi.

Sementara itu, dua lelaki tempatan terbabit turut ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat terutama jenayah rentas sempadan boleh menyalurkan terus kepada kami atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujar Rosdi.

Advertisement