Anda di sini

Penduduk Kampung Sri Paya Kulai gempar kehadiran buaya sepanjang empat meter

Advertisement
 
Bomba menangkap reptilia itu selepas menerima laporan pada pukul 10.52 pagi. - Gambar Bernama 

JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Sri Paya, Kulai, dekat sini, gempar seketika dengan kehadiran seekor buaya sepanjang empat meter dan berat kira-kira 400 kilogram di sebuah kawasan sungai di kampung berkenaan, pagi ini.

Kehadiran 'tetamu tidak diundang' itu disedari penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran, sebelum mereka melaporkan kehadirannya kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk menangkap reptilia itu selepas menerima laporan pada pukul 10.52 pagi.

"Usaha untuk menangkap dan membawa naik buaya itu ke darat sudah dilakukan dengan menggunakan tali. Selain bomba, operasi turut dibantu oleh lima anggota Jabatan Perhilitan dan 20 penduduk kampung," katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau menambah ketika ini, pihak Perhilitan masih lagi mencari kawasan yang bersesuaian untuk melepaskan haiwan itu. - Bernama 

Advertisement