Anda di sini

Pelan Pendidikan Kepenggunaan 2014-2020 terus diperkasa

Advertisement
 Tan (tengah) merakam kenangan bersama para peserta CIPKPS 2019 Negeri Sarawak di Kem Belia Kemuyang, semalam.
TINGKATKAN KESEDARAAN: Tan (tengah) merakam kenangan bersama para peserta CIPKPS 2019 Negeri Sarawak di Kem Belia Kemuyang, semalam.

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus komited memperkasakan Pelan Pendidikan Kepenggunaan 2014-2020 bagi mencapai matlamat mendekatkan kementerian itu dengan generasi muda.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang, pengguna sering berhadapan dengan isu kepenggunaan yang mencabar.

“Pelbagai isu kepenggunaan yang mencabar terutama di Sarawak, berlainan dengan isu yang dihadapi di Semenanjung Malaysia seperti harga kos barangan meningkat, kos sara hidup tinggi dan keadaan muka bumi agak mencabar bagi pengangkutan membawa barang ke pedalaman.

“Selain itu, masalah harga barangan di pedalaman tinggi kerana kos pengangkutan tinggi dan banyak lagi isu penipuan seperti penipuan atas talian dan penipuan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Atas sebab itu, Tan berkata, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan yang meliputi pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi dan persekitaran semasa.

“KPDNHEP sedaya upaya berusaha  melaksanakan pelbagai inisiatif dan pelan tindakan yang bersesuaian untuk membantu mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Pengguna juga terutama generasi muda seharusnya memahami hak mereka dan memainkan peranan serta tanggungjawab masing-masing bagi membanteras penipuan terhadap pengguna,” ujarnya.

Tan berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIPKPS) 2019 Negeri Sarawak di Kem Belia Kemuyang, Sibu semalam.

Turut hadir Ketua KPDNHEP Cawangan Sibu Roslee Maslie.

Dalam ucapannya, Tan berkata program membabitkan pelajar sekoalah itu secara tidak langsung dapat mendidik generasi masa depan menjadi pengguna yang berilmu, bijak dan bertanggungjawab.

Tahun ini, CIPKPS 2019 disertai seramai 37 sekolah yang melibatkan penyertaan 148 pelajar dari seluruh Sarawak telah dilaksanakan mengikut zon iaitu zon utara, zon tengah dan zon selatan.

Peringkat negeri diadakan pada 23 dan 24 April di Kem Belia Kemuyang, Sibu diwakili johan, naib johan dan tempat ketiga dari setiap zon.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, SMJK Kuching High, SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Kuching), SMK Datuk Patinggi Kedit (Betong), SMK Sungai Merah (Sibu), SMK St Patrick (Mukah), SMK Chung Hua (Miri), SMK Bintulu dan SMK Kidurong (Bintulu).

Juara peringkat negeri akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada bulan Julai 2019 di Putrajaya.

  • oleh
  • Advertisement