Anda di sini

Militan Daesh mengaku lancar pengeboman maut di Sri Lanka

Advertisement
 Anggota tentera Sri Lanka berkawal semalam di sebatang jalan utama dekat rumah presiden di Colombo,                tiga hari selepas siri serangan bom nekad ke atas gereja dan hotel mewah di pulau tersebut pada Ahad. — Gambar Reuters
TERUS BERJAGA-JAGA: Anggota tentera Sri Lanka berkawal semalam di sebatang jalan utama dekat rumah presiden di Colombo, tiga hari selepas siri serangan bom nekad ke atas gereja dan hotel mewah di pulau tersebut pada Ahad. — Gambar Reuters

COLOMBO: Militan Daesh kelmarin mengaku bertanggungjawab bagi siri serangan nekad yang dahsyat ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 320 orang.

Pengakuan itu, yang diiringi gambar dan video lelaki yang menurut kumpulan tersebut melakukan pembunuhan beramai-ramai itu, dibuat lebih dua hari selepas letupan yang berlaku hampir serentak memusnahkan tiga hotel mewah yang popular di kalangan orang asing dan tiga gereja yang penuh sesak dengan orang Kristian yang meraikan Hari Easter.

Kerajaan Sri Lanka berkata siasatan awal membayangkan serangan itu dilancarkan sebagai “tindak balas” bagi serangan di dua masjid di New Zealand pada bulan lepas yang membunuh 50 orang.

Pihak berkuasa di Colombo sudah menuding jari kepada sebuah kumpulan pelampau Islam tempatan yang tidak begitu dikenali dan dipanggil National Thowheeth Jama’ath (NTJ) tetapi berkata mereka sedang menyiasat sama ada mereka ada sokongan antarabangsa ataupun tidak.

“Mereka yang melancarkan serangan yang menyasari anggota perikatan Amerika Syarikat dan orang Kristian di Sri Lanka dua hari lalu adalah pejuang Daesh,” agensi pro-pagandanya, Amaq, menyebut dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu kemudian memberi nama tujuh orang yang menurutnya mendalangi “serangan barakah” yang menyasari orang Kristian sewaktu “cuti kufur” mereka.

Amaq turut mengeluarkan gambar lapan lelaki yang menurutnya mendalangi letupan berkenaan. Tujuh daripada mereka menutup wajah ma-sing-masing dan tiga membawa pisau.

Ketulenan imej dan video itu tidak dapat disahkan secara bebas, dan sebab bagi perbeza-an dalam jumlah penyerang yang dilaporkan tidak segera jelas.

Sumber polis Sri Lanka memberitahu AFP dua adik beradik Muslim, anak-anak seorang peniaga rempah kaya di Colombo, meletupkan diri di Hotel Shangri-La dan Hotel Cinnamon Grand.

Hotel Kingsbury di ibu negara merupakan hotel terakhir yang diserang.

Serangan keempat ke atas sebuah hotel pada Ahad gagal, sumber turut memberitahu AFP, tetapi ia tidak jelas segera sama ada bahan letupan pengebom rosak atau dia memilih untuk tidak meledakkannya.

Dia kemudian meletupkan diri apabila polis menjejakinya ke sebuah rumah tumpangan di ibu negara.

Polis menahan sekurang-kurangnya 40 orang dalam siasatan mereka ke atas keganasan terburuk di negara Asia Selatan itu sejak perang saudara berakhir sedekad lalu.

Namun Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata polis memburu suspek lain yang masih bebas, termasuk beberapa suspek yang mempunyai bahan letupan, dan serangan selanjutnya boleh berlaku.

“Kami cuba menangkap mereka,” katanya.

Kerajaan telah menguat-kuasakan keadaan darurat, untuk memberi polis dan tentera kuasa khas, termasuk keupayaan untuk menangkap suspek tanpa perintah mahkamah.

Pegawai sedang menyiasat kenapa langkah berjaga-jaga tidak diambil selepas amaran diterima pada 11 April daripada polis Sri Lanka bahawa sebuah “agensi perisikan asing” melaporkan NTJ me-rancang serangan nekad ke atas gereja.

Jurucakap kerajaan Rajitha Senaratne berkata amaran itu tidak disalurkan kepada Wickremesinghe atau menteri utama lain.

CNN melaporkan badan perisikan India telah menya-lurkan maklumat “yang luar biasa khusus” dalam masa beberapa minggu sebelum serangan berlaku, dan sebahagian daripadanya datang daripada seorang suspek Daesh dalam tahanan mereka.

Presiden Maithripala Sirisena, yang juga menteri pertahanan dan undang-undang, berkata beliau akan menjalankan penyusunan semula sepenuhnya dalam pasukan keselamatan dan polis ekoran serangan itu.

“Saya berharap untuk membuat perubahan besar dalam kepimpinan pasukan keselamatan dalam tempoh 24 jam akan datang,” kata Sirisena dalam satu ucapan kepada seluruh negara.

Usaha masih dijalankan untuk mengenal pasti mangsa asing dalam letupan itu.

Seorang bilionair Denmark kehilangan tiga anaknya dalam serangan itu, kata seorang jurucakap syarikatnya.

Lapan warga Britain, 10 warga India, empat warga Amerika dan rakyat dari Turki, Australia, Jepun dan Portugal, juga dilaporkan terkorban.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata sekurang-kurangnya 45 kanak-kanak, warga Sri Lanka dan warga asing, turut kehilangan nyawa.

Daripada tiga gereja yang disasari, dua berada dalam daerah Colombo dan satu lagi di kota timur Batticaloa. – AFP

Advertisement