Anda di sini

Lapor jika ada kes salah laku polis

Advertisement
OMAR mengadakan dialog bersama warga Tawau sempena Program Town Hall Discussion, Komuniti Sejahtera Jenayah Tanggungjawab Bersama di Auditorium Perpustakaan Wilayah Tawau.
OMAR mengadakan dialog bersama warga Tawau sempena Program Town Hall Discussion, Komuniti Sejahtera Jenayah Tanggungjawab Bersama di Auditorium Perpustakaan Wilayah Tawau.

TAWAU: Orang awam dinasihatkan tidak perlu takut atau gusar untuk melaporkan kes salah laku dan jenayah melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata penting mengutamakan aspek pematuhan integriti dan pihaknya tidak akan melindungi jika ada yang terbukti bersalah.

“Laporkan kepada kita jika ada kes salah laku dan jenayah melibatkan pegawai dan anggota PDRM, jika perlu, laporkan terus kepada saya sendiri untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak nafikan, hal itu (wujud kes salah laku dan jenayah oleh pegawai dan anggota PDRM) memang ada berlaku di Sabah, lagipun keluarga PDRM kita yang begitu besar.

“Keanggotaan kita di Sabah termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) ada lebih 11, 000 orang yang menunjukkan (saiz) organisasi ini besar,” katanya.

Omar berkata demikian ketika Program Town Hall Discussion, Komuniti Sejahtera Jenayah Tanggungjawab Bersama di Auditorium Perpustakaan Wilayah Tawau di sini.

Mengulas lanjut, beliau akui ada pegawai dan kakitangannya yang diambil tindakan tatatertib, undang-undang dan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita juga mengalu-alukan agensi lain untuk mengambil tindakan jika terbukti ada pegawai atau anggota kita yang bertindak menyalahi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pemantauan juga dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk memastikan semua pegawai dan anggota PDRM mengikut prosedur kerja ditetapkan.

Menyentuh Town Hall yang diadakan pula, beliau berkata program itu pertama kali diadakan di Sabah dan akan turut dianjurkan di bandar-bandar besar di negeri ini.

“Program ini diadakan untuk mendekatkan kita dengan masyarakat serta membolehkan kita menyalurkan maklumat supaya sampai cepat kepada golongan sasar,” katanya.

Hadir sama, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan polis dan pemimpin setempat.

  • oleh
  • Advertisement