Anda di sini

Ketepikan perselisihan demi kebaikan rakyat - Sultan Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini menyarankan sebarang perselisihan atau salah faham, sekiranya ada, melibatkan hubungan antara kerajaan negeri Johor dan kerajaan pusat perlu diketepikan.

Menerusi catatan terbaru dalam laman Facebook (FB) Sultan Ibrahim, baginda menitahkan, sebaliknya, kedua-dua pihak berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat.

Baginda bertitah Johor baru sahaja menyempurnakan pelantikan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

“Saya harap selepas ini tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan Johor. Justeru, kepimpinan baharu harus bersatu hati dan melipat gandakan usaha agar kebajikan serta kepentingan rakyat Johor ditambah baik dan sentiasa terbela,” titah baginda menerusi laman berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, pada masa yang sama, baginda berharap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh agar pentadbiran dan pengurusan negeri Johor berjalan lancar. - Bernama 

Advertisement