Anda di sini

Iriz, Persona 2019 jadi satu lagi penggalak prestasi Proton

Advertisement
 Proton Holdings Bhd menampilkan Proton Iriz 2019 pada majlis pelancaran Proton Iriz dan Persona Facelift 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.
SPESIFIKASI BAHARU: Proton Holdings Bhd menampilkan Proton Iriz 2019 pada majlis pelancaran Proton Iriz dan Persona Facelift 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd berharap pelancaran model Iriz dan Persona yang dipertingkat 2019 akan menjadi satu lagi penggalak ke arah pemulihan yang diperlukannya.

Pengerusi Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kedua-dua model itu ditawarkan pada harga berpatutan dengan 300 pembaharuan dilakukan dalam usaha menambah baik model tersebut.

“Kami melengkapkannya dengan unit stereo pintar (IHU) yang popular, menjadikan Iriz and Persona 2019 sebagai edisi terbaharu dalam rangkaian ‘kereta yang boleh bercakap’ kami.

“Tiada kereta lain dalam segmen sama dan pada kategori harga itu menawarkan fungsi ini. Justeru itu, kami berbangga merintis teknologi kereta Internet yang bertujuan agar menjadi lebih berpatutan untuk segmen pasaran ini,” katanya pada majlis pelancaran Iriz dan Persona 2019 di sini, kelmarin.

Harga atas jalan Iriz 2019 ditetapkan antara RM36,700 dan RM50,700 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM38,700 hingga RM52,700 untuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Persona 2019 berharga antara RM42,600 dan RM54,600 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM44,600 hingga RM56,600 untuk Sabah dan Sarawak.

Syed Faisal berkata bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely) China, Proton kini berupaya menangani cabaran.

“Selepas bertahun-tahun mewujudkan dan melabur dalam keseluruhan infrastruktur Proton, kami tahu Proton mengalami kekurangan keuntungan dari segi kos untuk mendapatkan semula pelaburan yang telah dibuat.

“Dalam usaha mengatasinya, kami menyedari bahawa Proton terpaksa berada dalam firma automotif yang lebih besar dan kami memutuskan untuk mencari rakan strategik yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh yang singkat bersama Geely, Proton berupaya mencatatkan begitu banyak pencapaian dengan yang paling tertinggi adalah pelancaran X70.

Syed Faisal berkata, setakat ini, Proton X70 membuat rekod bagi pendaftaran paling banyak dicatatkan oleh kenderaan utiliti sukan dalam tempoh bulan pelancarannya Disember tahun lepas, dengan lebih 25,000 tempatan diterima.

“Apabila X70 memenangi Anugerah Pilihan Editor bagi Kereta Terbaik 2018 kategori Kesalinghubungan dan Maklumat Hibur, kami turut tidak meraikannya dengan parti besar selain mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Kuasa bahawa kini adalah peluang sebenar untuk mengembalikan semula kebanggaan pekerja kami,” katanya. — Bernama

Advertisement