Anda di sini

Hukuman penjara tidak menginsafkan penagih tegar

Advertisement
 Antara suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan gejala penagihan dadah.
DITAHAN: Antara suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan gejala penagihan dadah.

MIRI: Seakan-akan tidak pernah serik menjalani hukuman penjara, seorang bekas banduan ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam serbuan di Bekenu dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Cawangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri Mazlan Jikran berkata, semasa ditahan suspek berusia 31 tahun itu bertindak mengamuk menggunakan senjata tajam.

“Sebelum ditahan suspek dipercayai selalu mengganggu dan mengancam keselamatan orang awam dan keluarga, malah berhalusinasi melihat dan diganggu makhluk halus,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mazlan berkata, pihaknya juga menahan seorang ibu sarat mengandung yang sedang menunggu hari untuk bersalin kerana didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, serbuan yang dijalankan bermula pada jam 9 malam kelmarin dan berakhir pada jam 4 pagi semalam berjaya menahan 13 individu terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita.

“Operasi Bersepadu One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Subis ini dijalankan di enam kampung iaitu Kampung Kuala Sibuti, Kampung Padang Kelulit, Kampung Tunah Tiris, Kampung Masjid Tiris, Kampung Bulau dan Kampung Keluru Tengah.

“Seramai 21 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 13 orang ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Mazlan berkata, 13 suspek ini ditangkap mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu perintah menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan selama dua tahun dan pengawasan dua tahun.

“Atau di bawah Seksyen 6(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983 iaitu menjalani perintah pengawasan selama tempoh maksimum tiga tahun,” jelasnya.

Operasi malam kelmarin dijalankan seorang pegawai dan lima anggota AADK, enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), empat anggota Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan tiga kakitangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Advertisement