Anda di sini

Guru didakwa rogol pelajar sendiri

Advertisement
 

KUCHING: Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar bawah umur pada 2017.

Bagi pertuduhan pertama, Muhaini Bojeng yang bekerja sebagai guru itu didakwa merogol mangsa di tempat letak kereta berhampiran pasar raya di Siburan pada Ogos 2017 antara pukul 12.30 tengah hari dan pukul 2 petang.  

Muhaini, 53, didakwa di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574), jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan denda.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, guru subjek Matematik berkenaan didakwa merogol mangsa pada 14 September 2017 antara pukul 11.40 pagi dan pukul 4 petang, juga di tempat sama. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang menetapkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mangsa berumur 14 tahun semasa kejadian berkenaan berlaku. 

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memberikan tempoh sehingga 2 Mei depan kepada peguam tertuduh, Wit Malang, untuk menyediakan statistik kekerapan kesalahan seksual yang terjadi di Sarawak.

Hakim turut mengarahkan Wit untuk melihat contoh-contoh kes serta arah aliran hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah seksual yang melibatkan kes penjawat awam khususnya bagi mereka yang terlibat dalam profesion perguruan.

Hal ini penting agar pesalah seksual tidak dilepaskan sewenang-wenang, akan tetapi dijatuhkan hukuman sewajarnya.

Ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah, Wit berkata adalah tidak masuk akal bagi kliennya dituduh melakukan perbuatan terkutuk berkenaan di dalam kereta.

Tambahnya lagi, dakwaan berkenaan boleh disangkal kerana ia merupakan kawasan terbuka yang penuh dengan orang awam, maka tiada peluang bagi kliennya bertindak sedemikian.

Tertuduh kini ditahan di penjara dan dijadual dihadapkan semula ke mahkamah pada 2 Mei depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof. 
 

  • oleh
  • Advertisement