Anda di sini

Geng Ah Hui Gurun aktif curi kereta mewah tumpas

Advertisement
 ACP Osman (kiri) menunjukkan sebuah kereta mewah Toyota Vellfire yang dirampas dari Geng Ah Hui Gurun selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam. — Gambar Bernama
DIRAMPAS: ACP Osman (kiri) menunjukkan sebuah kereta mewah Toyota Vellfire yang dirampas dari Geng Ah Hui Gurun selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam. — Gambar Bernama

TAIPING: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri kereta mewah di beberapa negeri sejak tahun lepas dengan tertangkapnya dua individu lelaki dipercayai anggota Geng Ah Hui Gurun pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata dalam operasi dikenali sebagai Ops Lejang Geng Hui itu, polis turut merampas dua kereta mewah, wang tunai RM1,690 serta peralatan mencuri kereta.

Menurut Osman, kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an ditahan sepasukan anggota dan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 5.45 petang di depan sebuah hotel di Sik, Kedah.

Katanya semasa ditahan, kedua-dua suspek menaiki kereta jenis Honda Accord menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur pada 17 April lepas.

“Kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Seberang, Sik dan menemukan beberapa barang dipercayai digunakan untuk menghidupkan motokar mewah yang dicuri,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Osman berkata suspek juga membawa polis ke satu kawasan berhampiran sebuah restoran makanan segera, lokasi sebuah Toyota Vellfire warna putih dengan nombor pendaftaran palsu disorokkan dan semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada 18 April lalu.

Menjelas lanjut, beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dengan tujuh kes kecurian kereta mewah di Johor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang dengan menggunakan alat elektronik dipanggil ‘jammer’ untuk mencuri.

“Motokar yang dicuri diubah suai menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum dijual kepada seorang lelaki di Kuala Lumpur yang menjadi orang tengah penjualan kereta mewah itu,” katanya sambil menambah polis akan memohon lanjutan tempoh reman kedua-dua suspek yang berakhir hari ini untuk siasatan lain-lain kes.

Osman berkata seorang daripada suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan merupakan orang yang dikenakan pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta sedang menjalani hukuman buang daerah di Sik, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod jenayah.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata polis IPD Taiping berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 1.14 kilogram bernilai RM74,240 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Kami A, Aulong di sini, Jumaat lepas.

Osman berkata dadah berkenaan ditemukan disorok di dalam satu bungkusan dan disimpan di dalam satu pasu bunga di rumah itu.

Katanya dalam Op Jihad Dadah itu, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berumur 20 serta 30-an yang kedua-duanya mempunyai rekod jenayah narkotik lampau.

Katanya kedua-dua suspek yang dipercayai anggota Kumpulan Prabu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan polis percaya mereka aktif mengedar dadah sejak awal 2018 di sekitar Taiping. — Bernama

Advertisement