Anda di sini

APMM gagalkan penyamaran

Advertisement
 Shahref (dua kiri) serta anggota APMM melihat keadaan kru nelayan asing yang ditahan berikutan menceroboh perairan Bintulu pada Isnin dan kelmarin.
HELAH GAGAL: Shahref (dua kiri) serta anggota APMM melihat keadaan kru nelayan asing yang ditahan berikutan menceroboh perairan Bintulu pada Isnin dan kelmarin.

BINTULU: Cubaan 22 kru dua kapal nelayan asing dari Vietnam dan Thailand mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kapal mereka dan menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menceroboh perairan negara dapat dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) dalam operasi pada Isnin dan kelmarin di perairan Bintulu.

Susulan itu, kesemua nelayan asing itu berjaya ditangkap APMM Zon Bintulu manakala dua kapal berserta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM2 juta turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Zon Bintulu Kapten Maritim Shahref Steve Macqueen Abdullah berkata, 11 kru dalam kapal pertama ditangkap pada jam 7 malam Isnin pada jarak lebih kurang 123 batu nautika dan 11 kru kedua pula ditangkap jam 12 tengah hari kelmarin pada jarak 79 batu nautika dari Tanjung Kidurong.

"Kesemua 22 kru nelayan Vietnam dan Thailand yang berumur 23 hingga 55 tahun itu ditangkap pasukan Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan di sekitar perairan Bintulu dan kesemua kru nelayan asing itu didapati menceroboh perairan negara," ujarnya pada sidang media di Pejabat APMM Wisma Peng Seng, Batu 5 Jalan Bintulu-Miri semalam.

Katanya, kedua-dua kapal nelayan asing itu disyaki cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menyamar sebagai vesel nelayan tempatan dengan melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di sekitar perairan Bintulu.

Justeru katanya, kesemua kru itu ditahan dan dibawa ke Bintulu untuk tujuan siasatan lanjut manakala kapal, peralatan dan hasil tangkapan disita.

Shahref (kiri) memeriksa kapal nelayan asing yang dirampas APMM.
DISITA:Shahref (kiri) memeriksa kapal nelayan asing yang dirampas APMM.

"Kapal dan kru akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kru nelayan asing itu juga akan direman selama 14 hari," katanya sambil menambah, ia merupakan tangkapan pertama APMM melibatkan nelayan asing yang menceroboh perairan negara pada tahun ini.

Mengenai keadaan kru nelayan semasa ditangkap katanya, mereka tidak melawan sebaliknya menyerah diri dan tiada cubaan untuk melarikan diri semasa proses penangkapan tersebut.

Dalam perkembangan lain katanya, APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam di Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu iaitu 086-314254.

  • oleh
  • Advertisement